Monday, July 6, 2009

Tomboi Dirogol, Bunuh

Susunan Fuad Hadinata Yaacob

Brandon Teena atau nama sebenarnya Teena Brandon, dilahirkan sebagai seorang wanita namun naluri dan perasaan seperti seorang lelaki membuatkan wanita dari Lincoln, Nebraska, Amerika Syarikat (AS) itu, menukar gaya dan penampilan.

Akibat tindakan itu, wanita berusia 21 tahun berkenaan terpaksa melalui detik ngeri apabila menjadi mangsa rogol dan penderaan seksual dua lelaki yang juga sahabatnya gara-gara menyangka Teena selama ini seorang lelaki.

Lebih malang lagi, dalam kejadian selepas sambutan meraikan ketibaan Tahun Baru 1993, Teena ditembak mati selepas dirogol di sebuah rumah ladang di Humboldt, Nebraska.

Ia berpunca daripada tindakan dua penjenayah terbabit yang merogol Teena dan bagi mengelak perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, mereka bertindak nekad menembak mangsa.

Ada dakwaan menyatakan, Teena dibunuh kejam malah pembunuhan itu paling ngeri pernah berlaku di Humboldt, Nebraska.

Dua rakannya, Lisa Lambert, 23 dan seorang lelaki dari Iowa, Phillip Devine yang menjadi saksi kejadian turut ditembak mati.

Kejadian pembunuhan Teena atau nama samarannya Billy Brenson Tena Ray, menarik perhatian ramai malah sutradara Kimberly Peirce, menulis skrip sekali gus mengarahkan filem bertajuk 'Boys Don't Cry' pada 1999 yang mengisahkan kehidupan Teena sehingga dia ditemui mati.

Malah, watak Brandon yang dilakonkan Hillary Swank, dipilih sebagai Aktres Terbaik di Anugerah Academy ke 72 di Los Angeles pada 2000.

Teena yang dilahirkan di Lincoln berhijrah ke Humboldt pada 1993 menggunakan nama Brandon Teena. Penampilannya seperti lelaki malah dia berhasrat untuk melakukan pembedahan jantina untuk menjadi seorang lelaki.

Tidak seorang pun tahu mengenai jantina sebenar Teena sepanjang di Humboldt sehinggalah pada 15 Disember 1992, dia ditahan polis atas tuduhan memalsukan cek.

Teena yang menetap di rumah rakannya, Lisa Lambert pada masa sama menjalin hubungan dengan rakan Lisa, Lana Tisdel.

Ketika ditahan, Lana mengikat jamin Teena namun polis yang menjalankan siasatan, meletakkan Teena di bilik kurungan wanita sekali gus mewujudkan persoalan kepada Lana.

Begitupun, Teena bijak menyembunyikan rahsianya dengan mendakwa dia sudah menukar jantina dan hubungan yang sedikit renggang diteruskan semula.

Kes itu menjadi perhatian ramai malah turut disiarkan akhbar tempatan, Falls City Journal.

Pada masa sama, rakan lelaki Lisa dan Lana, John Lotter, 22 dan Marvin Thomas Nissen, 21, mengetahui perkara itu. Lotter yang juga bekas teman lelaki Lana meminta Teena membuat pengakuan sama ada dia lelaki atau wanita.

Gagal menemui penyelesaian, mereka membogelkan Teena di depan Lana bagi membuktikan jantinanya sejurus selepas menyambut Krismas pada Disember 1992.

Tidak cukup itu, Teena disumbat di dalam kereta dan dibawa ke lokasi tidak diketahui sebelum dipukul dan dirogol berulang kali. Teena kemudiannya dibawa ke rumah Nissen dan dikurung.

Namun, dia berjaya melarikan diri melalui tingkap bilik air dan membuat laporan polis. Mengetahui mereka diburu, Lotter dan Nissen mencari Teena untuk membalas dendam.

Malam sambutan tahun baru, Teena berjaya ditemui di sebuah rumah ladang di Humboldt dan tanpa membuang masa, dia terus ditembak. Selain Teena, Devine yang ada di rumah berkenaan juga ditembak mati.

Menyedihkan apabila Lisa yang ketika itu memangku bayinya turut ditembak namun anaknya terselamat.

Kejadian itu menggemparkan Nebraska malah menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar di Amerika Syarikat.

Dalam kes itu, tidak sukar untuk polis mengesan penjenayah terbabit dan dalam masa beberapa hari, Lotter dan Nissen ditahan. Lotter didakwa atas tiga tuduhan bunuh manakala Nissen pula didakwa bersubahat dengan rakannya.

Mahkamah pada 21 Februari 1996 memutuskan kedua-duanya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atas Lotter manakala Nissen pula dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Sementara itu, ibu Teena, Joaan Brandon memfailkan saman ke atas pihak berkuasa atas dakwaan gagal melindungi anaknya itu daripada menjadi mangsa pembunuhan dan dia memenangi kes berkenaan sekali gus mendapat ganti rugi berjumlah $80,000 (RM280,000).

Joaan pula berkata, anaknya dilahirkan sebagai seorang perempuan namun ketika kecil dia menjadi mangsa serangan seksual saudara sendiri.

Akibat perbuatan itu, dia berubah dan mahu menjadi seperti seorang lelaki. Katanya, dia pernah membawa Teena menemui kaunselor pada 1991 namun berubah sikap kemudian.

Mengenai reaksinya terhadap filem 'Boys Don't Cry' yang menceritakan kisah anaknya, Joaan berkata dia 'sakit dan letih' apabila ada pihak sanggup mengambil kesempatan ke atas anaknya.

"Saya tidak faham bagaimana dalam tempoh tiga minggu kejadian, ada pihak boleh menghasilkan sebuah filem dan memenangi anugerah daripadanya. Saya letih dan sakit apabila ada pihak sanggup buat duit daripada kisah anak saya," katanya.

Joaan turut melahirkan rasa sedih kerana sepanjang penerbitan filem itu, tiada pihak produksi menemuinya malah kecewa apabila filem itu tidak menggambarkan kehidupan Teena ketika dia kecil.

-Metro 28 Jun 2009-

No comments:

Post a Comment