Thursday, July 16, 2009

Cinta Lara Natrah, Mansor

Konflik Berdarah Natrah 1950

Dia bukan Elizabeth Taylor atau Rita Haywood, tetapi sejak bersekolah rendah saya tahu siapa itu Natrah. Tidak pernah menatap wajah, maklum saja era 1970-an bukan seperti era digital, namun cerita Natrah dikisahkan ibu dan ayah menarik minat untuk budak seperti saya mengikuti lanjut.

Kebetulan ketika konflik berdarah Natrah pada 1950, ibu dan ayah masih menetap di Singapura, tentu saja cerita disampaikan bukan atas mulut ke mulut, tetapi secara realiti. Malah kata ibu, ketika konflik Natrah, ayah terbabit dalam pemberitaan sebelum serius menjadi orang filem.

Menginjak remaja, gelodak ingin tahu Natrah sedikit terubat apabila Kay Film menerbitkan filem Jasmin arahan Datuk Jamil Sulong. Filem lakonan Noraini Jane dan Datin Rosnani Jamil pada 1984 itu dinilai 'orang lama' ketika itu cuma fiksyen di sebalik konflik Natrah bukan realiti sebenar.

Hingga sekarang saya tertanya-tanya mengapa pada masa itu Jamil selaku pengarah dan Tan Sri Kamarul Ariffin selaku produser Kay Film tidak terus filemkan saja kisah Natrah, bukan Jasmin?

Meningkat dewasa, baru rasa terubat membaca kisah tragis Natrah di Dewan Masyarakat secara bersiri disediakan wartawannya Fatini Yaacob. Penghujung 1980-an saya gemar membaca Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya kerana maklum saja lepas sekolah, aliran sastera terbawa-bawa.

Saya masih ingat ketika itu Dewan Masyarakat yang dipimpin Datuk Johan Jaafar laris gara-gara cerita eksklusif Natrah. Seingat saya, siri Natrah itu dalam lima keluaran, malang pula dek kerana kisah Natrah 'bagai pisang goreng', saya terlepas dua siri kerana edarannya habis.

Generasi era 'moonwalk' dan 'hip hop' kini saya percaya kurang tahu siapa itu Natrah. Tidak seperti Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun yang cuma mengkhayalkan, kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi, suami isteri yang 'dipisahkan', penuh lara hingga mencetuskan pertumpahan darah.

Natrah dikahwinkan dengan Mansor secara nikah gantung ketika berusia 13 tahun pada 1950, sementara Mansor 22 tahun. Ikut undang-undang Syariah, perempuan umur 13 tahun dibenarkan berkahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah, tetapi mengikut undang-undang Belanda, bagi seorang anak berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya, lalu Natrah dan Mansor dipisahkan.

Natrah Maarof (nama Islamnya) atau Bertha Hertogh yang dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Bandung, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Huijberhen, Selatan Belanda, pada Rabu (8 Julai) lalu dalam usianya 72 tahun. Berakhirlah riwayat Natrah yang penuh duka dan lara.


Bagi yang pernah menatap gambar ceria persandingan Natrah dan Mansor, apatah lagi melihat gambar pelukan erat Natrah di belakang ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad dari Terengganu ketika melangkah ke mahkamah di Singapura bagai tidak sanggup menghadapi perpisahan, tentu saja berasa sebak.

Bagi orang lama, kisah Natrah tidak jemu diceritakan, pastinya untuk anak cucu beringat-ingat betapa Natrah berjaya dimurtadkan dek pertembungan kuasa Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

-Metro 12 Julai-

No comments:

Post a Comment