Friday, July 31, 2009

Kemuncak Awan Biru

"Apa yang berlaku kepada Search tidaklah sampai mengganggu keseluruhan penganjuran" Amy

Tanggal 1 Ogos ini, Polo Pavillion, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur akan berlansungnya konsert kemuncak Search di Awan Biru selepas menggegarkan Seberang Perai, Johor Bahru, Jengka dan Kuala Terengganu.

Destinasi kelima yang dijangka dihadiri kira-kira 15,000 penonton ini menjanjikan kepuasan maksimum kepada pengikut setia band legenda ini apabila diserikan dengan 25 lagu selama dua jam setengah.

Banyak kelainan yang bakal diketengahkan Search dalam konsert hebat ini bersesuaian dengan produksi dan pentasnya yang lebih besar. Berita gembira ini dimaklumkan Amy apabila 'selebriti' Metro menghubunginya.

"Lebih istimewa, Kid akan beraksi di samping Hillary dan Din. Saya yakin, peminat sudah lama menantikan kemunculan Kid dan ia akan menjadi detik indah baik di pihak kami mahupun penonton.

"Ikut perancangan, saya akan menyanyikan 25 lagu tetapi jika ada masa lebih, mungkin jumlahnya akan meningkat. Apapun terpulang kepada keadaan pada malam itu nanti.

"Pintu akan dibuka pada jam 3 petang. Bermua jam 4.50 petang penonton akan dihiburkan dengan persembahan band indie, Revenge, diikuti Pesawat, Zip Ziller dan Republic of Brickfields. Setiap band akan mengadakan persembahan selama sejam. Search akan mengambil alih pentas jam 8.45 malam," katanya yang berharap konsert berkenaan menyemarakkan lagi bisnes hiburan tanah air.

Diminta mengulas desas-desus penganjuran konsert jelajah anjuran Art-Is At Work Sdn Bhd ini berdepan dengan banyak masalah termasuklah wang dilarikan individu tertentu sehingga ada lokasi terpaksa dibatal dan ditangguhkan, vokalis Search ini menafikan dakwaan itu.

Pun begitu dia mengakui memang ada masalah dalaman tapi ia perkara biasa dalam mana-mana penganjuran konsert dan tidak sewajarnya diperbesar-besarkan.

"Dalam penganjuran konsert, sedikit sebanyak pasti ada masalah. Tapi apa yang berlaku kepada Search tidaklah sampai mengganggu keseluruhan penganjuran. Kalau pun ada perubahan hanya tarikh persembahan dan adalah satu dua tempat terpaksa dibatalkan.

"Konsert di Kelantan misalnya, sepatutnya kami ke sana pada 5 Jun lalu terpaksa membatalkannya berikutan Sultan Kelantan gering, begitu juga Sabah dan Sarawak.

"Kami akan menyusun semula jadual siri jelajah ini selepas menjayakan konsert kemuncak ini. Insya-Allah kami akan ke Sabah dan Sarawak selepas sambutan Aidilfitri.

"Atas permintaan ramai, kami menambah satu lagi lokasi persembahan iaitu di Batu Pahat. Tidak sampai hati pula bila ramai merungut tidak dapat menonton persembahan kami di Johor Bahru kerana tiket habis. Harap-harap konsert itu nanti mendapat sambutan hangat seperti di Johor Bahru," kata Amy.

-Metro-

No comments:

Post a Comment