Ketika Washington dan Paris bergembira meraikan ulangtahun ke-65 pendaratan tentera Bersekutu di pantai Normandy- sekaligus permulaan pembebasan Perancis daripada tentera Nazi- tidak ramai yang mahu mengingat kekejaman dilakukan terhadap wanita di negara itu.
Lazimnya, sambutan detik digelar D-Day itu dipenuhi acara meriah dan berwarna-warni meraikan pembebasan Perancis.
Namun, pada 1944 itu, penganiayaan ke atas wanita yang dituduh bersekongkol dengan tentera Nazi berleluasa.
Atas hujah 'menghukum' ramai wanita ditangkap dan dicukur kepala.
Mengikut sejarah, amalan membotakkan kepala mula dikesan pada era Visigoths di Balkan dan pernah menguasai pusat pemerintahan empayar Rom di abad keempat.
Kemudian, amalan mencukur itu diteruskan pada zaman pertengahan bagi menghukum seseorang yang berzina.
Amalan itu diperkenalkan semula selepas tentera Perancis menakluki Rhineland, Jerman pada 1923.
Pada era Perang Dunia kedua, Nazi mengarahkan mana-mana wanita Jerman yang membenarkan diri mereka ditiduri lelaki bukan berbangsa Aryan (rejim Nazi menganggap lelaki Jerman adalah keturunan Aryan) atau banduan asing yang bekerja di ladang mesti dibotakkan.
Amalan sama turut dikesan ketika Sepanyol berdepan perang saudara di antara Falangists (pengikut kumpulan Falange) dengan penyokong republikan.
Apabila Perancis dibebaskan daripada Nazi, amalan itu berterusan, tetapi kebanyakan tondeurs (tukang cukur) sebenarnya mengambil kesempatan daripada keadaan semasa.
Sebenarnya, sesetengah pejuang Perancis yang berjuang menentang Nazi di negara itu kurang aktif mencukur rambut wanita.
Sebaliknya, ramai lelaki lain yang tidak berjuang berasa malu dan bersalah apabila Jerman dikalahkan.
Justeru, untuk mengalih perhatian masyarakat, mereka menonjolkan diri kononnya sebagai pejuang dan giat menghukum wanita yang dianggap bersekongkol dengan tentera Nazi.
Di kalangan pemberontak, kezaliman mereka mencukur rambut wanita mula diamalkan sejak pergerakan itu aktif di bawah tanah pada 1941.
Sejak peristiwa D-Day, amalan mencukur rambut wanita yang didakwa 'berdosa' berlaku berleluasa.
Setiap kali kampung atau bandar ditawan semula, tondeurs akan sibuk mencari mangsa.
Pada pertengahan Jun, berbelas wanita di bandar Carentan ditangkap dan dicukur rambut mereka di khalayak ramai sebaik ia dikuasai tentera Bersekutu.
Di Cherbourg, berpuluh wanita botak - kebanyakannya remaja - diarak dalam lori di bandar itu.
-Metro 9 Jun-
No comments:
Post a Comment