Saturday, July 18, 2009

Ronaldo Bukan 'Playboy'

Dolores anggap sikap anaknya yang suka bertukar teman wanita lumrah orang muda.

Ibu bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mempertahankan anaknya sebagai bukan kaki perempuan meskipun teman wanitanya bersepah keliling pinggang. Bagi Dolores Aveiro, tidak salah Ronaldo mempunyai ramai teman wanita kerana dia masih muda dan bujang.

Melihat kepada berita yang memaparkan bagaimana Cristiano Ronaldo kerap menukar teman wanita bagaikan menukar baju, pasti ramai menganggapnya 'playboy' atau kaki perempuan.

Namun di mata wanita yang amat disanjung Ronaldo- ibunya, Dolores Aveiro anaknya itu bukan 'playboy'.

"Saya menggalakkannya keluar dan bertemu ramai wanita yang mempunyai pelbagai latar belakang kerana dia masih muda serta bujang."

"Dia perlu berseronok. Tapi dia bukan 'playboy' biarpun imejnya menunjukkan sebaliknya," kata Dolores.

"Apa sahaja dalam dunianya ketika ini bersinar-sinar. Saya amat gembira dan bangga. Dia gembira bermain untuk Real Madrid."

Begitupun, di kalangan wanita yang dikaitkan dengan Ronaldo, Dolores mungkin paling tidak gemar Paris Hilton.

Perasaannya digambarkan apabila dia meminta bekas teman wanita Ronaldo, Nereida Gallardo, kembali ke pangkuan anaknya tidak lama selepas berita pemain itu keluar dengan Paris di Amerika Syarikat tersiar baru-baru ini.

Ronaldo memutuskan hubungan dengan Nereida menerusi teks pesanan ringkas, tapi mereka berpeluang bertemu lebih kerap kerana model jelita itu tinggal di Sepanyol.

Seorang rakan keluarga Ronaldo berkata: "Dolores kecewa dengan cara Ronaldo melayan Nereida. Dia bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Nereida."

"Dolores sukakan Nereida dan pasti dia calon isteri paling sesuai untuk Ronaldo."

"Selepas percintaan kedua-duanya gagal, Dolores masih berhubung dengan Nereida dan membantu mengubat kekecewaannya."

"Dia kemudian menyuruh Cristiano supaya memohon maaf kepada Nereida dan meminta Nereida memaafkan anaknya."

Mereka bercinta selama lapan bulan sebelum berpisah Julai tahun lalu.

Dalam temubual dengan akhbar News of The World tahun lalu, Nereida mengaku berang dengan cara Ronaldo memutuskan hubungan mereka.

"Dia penakut dan tidak berani memberitahu mengenainya secara berdepan," katanya.

Nereida turut menyalahkan Dolores sebagai punca perpisahan.

Katanya: "Dia menelefon ibunya setiap hari. Saya tidak terkejut jika teman wanitanya selepas ini hasil pilihan ibunya."

Seorang rakan Ronaldo memberitahu, pemain itu rasa terkilan dengan caranya memutuskan hubungan.

"Ronaldo menyedari tindakannya itu salah, jadi dia menghantar mesej memohon maaf dan mereka kini kembali bertukar-tukar mesej," katanya.

Tapi, sama ada Ronaldo akan kembali ke pangkuan Nereida masih samar. Apa yang pasti kelibatnya bersama ramai wanita glamor akan terus terpapar dalam majalah dan akhbar sehinggalah dia membuat keputusan untuk berkahwin.

No comments:

Post a Comment