Pemain nombor satu Britain raih banyak wang hasil kejayaan di arena tenis
Andy Murray boleh menjadi satu jenama global bernilai RM584 juta jika dia dapat memenuhi potensinya di atas gelanggang tenis, menurut pakar jenama.
Pemain tenis itu boleh meraih banyak wang menerusi kemenangan pada kejohanan dan kontrak tajaan ketika profilnya kini semakin meningkat.
Murray memenangi RM7.6juta hasil hadiah kemenangan setakat tahun ini, menurut Jelajah Pemain Tenis Profesional (ATP), manakala perjanjian menerusi tajaan difahamkan bernilai sekitar RM29 juta.
Bagaimanapun, ikatan kontraknya dengan syarikat 19 Entertainment milik Simon Fuller awal tahun ini dan kemenangan terbarunya pada Kejohanan AEGON di Queens dilihat mampu melonjakkan pendapatannya. Syarikat 19 Entertainment turut menjaga kepentingan perniagaan bintang bola sepak England, David Beckham.
Ketika ini, Murray menandatangani kontrak tajaan dengan Royal Bank of Scotland, Highland Spring, Head dan Fred Perry. Jika dia menang pada kejohanan Wimbledon pada kali ini, pastinya lebih banyak kontrak tajaan berprofil tinggi mampu menjadi miliknya. Seorang sumber di 19 Entertainment berkata: "Cita-citanya adalah untuk pergi ke global. Potensinya amat besar."
Paul Townsin, rakan kongsi perniagaan di Venturethree, seorang perunding jenama, berkata Tim Henman memiliki kontrak tajaan sekitar RM117 juta walaupun bukan pemain pilihan utama.
"Sebaliknya Andy Murray kini menduduki ranking ketiga dunia. Beberapa peramal menjangkakan nilai bersihnya mampu melonjak hingga RM468 juta dalam tahun mendatang," katanya.
Tim Hill, pengarah pemasaran di FutureBrand, berkata mengikat kontrak dengan jenama "paling unggul Inggeris" seperti Fred Perry adalah "amat bijak".
Sementara itu, Murray menyanjung teman wanitanya, Kim Sears yang banyak membantu kejayaannya setakat ini.
Mengubah pemain remaja itu kepada berpotensi menjadi juara Wimbledon, Kim yang berusia 21 tahun dianggap sebagai elemen penting dalam kehidupan Murray dan kedua-duanya sudah bersama selama empat tahun.
Kim akan menamatkan pengajian bertaraf ijazah dalam Kesusasteraan Inggeris di Universiti Sussex dan bercita-cita meneruskan karier dalam bidang penerbitan.
"Apabila kami bersama, kami sering ada sesuatu yang hendak dibicarakan dan hubungan ini semakin segar," kata Murray.
"Dia tidak mahu mengikut saya ke mana saja saya bertanding. Dia mahu mempunyai karier sendiri, bukan sekadar bergambar dengan majalah Hello!.
Pasangan itu baru saja berpindah ke rumah agam baru bernilai RM32 juta di Surrey.
Bagaimanapun, di sebalik status dan kekayaan yang meningkat, mereka menjauhkan diri daripada kehidupan gaya selebriti dan lebih suka dengan malam yang sunyi tanpa menjejaki permaidani merah.
"Saya bertuah. Saya tahu Kim bukan bersama saya kerana saya menjadi tumpuan. Ketika kami bertemu, saya sedang beraksi pada pusingan kelayakan," kata Murray.
"Dia turut memahami kehidupan sebenar seorang pemain tenis kerana bapanya (jurulatih tenis terkenal, Nigel Sears) terbabit secara lansung dengan sukan ini.
-Metro 26 Jun 2009-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment