Skuad negara perlu baiki pencapaian jika mahu berjaya di Shanghai
Jurulatih memanah negara, Lee Jae-hyung menganggap barisan kebangsaan masih belum cukup bersedia untuk menghadapi Piala Dunia Keempat di Shanghai, China, 4-9 Ogos depan, selepas menamatkan Grand Prix Asia Ketiga, semalam, dengan dua pingat emas, dua perak dan empat gangsa.
Sekalipun pencapaian itu mengatasi prestasi pada Grand Prix Asia Pertama, namun dua emas terbabit disumbangkan acara compound, yang tidak dipertandingkan di Shanghai ketika semua pemanah recurve tumbang kepada wakil Korea Selatan.
Sambil mengakui kurang gembira dengan pencapaian keseluruhan Malaysia, Jae-hyung menganggap beberapa pemanah mencatat peningkatan, namun ada yang makin bermasalah.
"Graf prestasi pemanah wanita, S Anbarasi dan Amirah (Mohamed) selain pemanah lelaki, Cheng Chu Sian menunjukkan peningkatan positif. Jika mereka meneruskan persembahan seperti ini, saya jangka mereka akan menguasai beberapa kejohanan berikutnya.
"Tapi, perkara sebaliknya berlaku kepada Wan Khalmizan (Wan Abd Aziz) dan Izuddin (Abd Rahim), yang makin merosot dan ditenggelamkan pemanah pelapis. Memang sukar untuk mengekalkan prestasi dalam setiap kejohanan, namun mereka sudah mengambil masa agak lama untuk kembali bangkit.
"Begitupun, mereka pertaruhan terbaik ketika ini dan saya sudah mengambil keputusan untuk menyenaraikan Khalmizan dan Izuddin ke Shanghai," katanya.
Lapan pemanah (empat lelaki dan empat wanita) sudah berada dalam perancangan Jae-hyung iaitu Chua Sian, Khalmizan, Izuddin dan Zulkifli Tahir sementara S Anbarasi mengetuai senarai wanita yang turut membabitkan Amirah, Noor Aziera Taib serta Fepriyenita Anuar.
Final dua acara recurve, individu dan berpasukan lelaki menjadi tumpuan hari terakhir Grand Prix Asia ketiga di Majlis Sukan Negara (MSN), Keramat, semalam namun Malaysia tewas kedua-duanya kepada Korea Selatan.
Recurve individu lelaki menyaksikan Chua Sian tewas, 108-111 kepada bekas pemenang emas Sukan Olimpik Athens, Jang Yong Ho sebelum trio recurve negara, yang dibarisi Chua Sian, Khalmizan dan Zulkifli, tumbang 212-213 di tangan kuasa besar memanah dunia itu.
Korea Selatan nyata gagal digugat apabila menyapu bersih emas dalam semua empat recurve yang disertai. Namun, ia masih belum cukup untuk menggembirakan jurulatihnya, Moon Hyung Cheol.
"Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan kami akan membuat pemilihan semula demi mewujudkan skuad lebih kuat ke Shanghai. Saya masih belum berpuas hati dengan catatan pemanah kami kerana belum mampu menjanjikan kejayaan pada misi utama 2009, Kejohanan Dunia di Ulsan, Korea Selatan (September depan)," katanya.
Mujur Korea Selatan tidak menyertai acara compound sekali gus memberi laluan kepada pemanah tuan rumah, Kelvin Hoo menewaskan rakan senegara, Lang Hon Keong, 115-113 pada final sebelum Fatin Norfatehah Mat Salleh menyumbang emas kedua apabila menyingkirkan wakil Singapura,112-108 dalam saingan wanita.
-Metro 12 Julai-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment