Tiada siapa dapat menafikan lagi percintaan terbaru bintang tenis, Ana Ivanovic dengan jaguh golf Australia, Adam Scott.
Pemain Serbia itu yang baru-baru ini diundi sebagai 'atlit wanita tercantik di dunia' sudah sah meninggalkan bekas kekasihnya, pemain tenis Sepanyol, Fernando Verdasco.
Kelibat Scott, bekas pemain golf nombor tiga dunia, pada kejohanan tenis Wimbledon, baru-baru ini dan kehadiran Ana menemani kekasih barunya itu pada kejohanan golf Terbuka Scotland di Loch Lomond yang berakhir hari ini, melenyapkan terus tanda tanya mengenai hubungan mereka.
Bagaimana mereka bertemu? Menurut laporan, mereka bertemu di Sunshine Coast awal tahun ini, beberapa hari sebelum Ana bertanding pada Terbuka Australia di Melbourne.
Mereka kelihatan mesra menghabiskan masa di tepi pantai Noosa, Queensland, dan paparazzi tidak melepaskan peluang mengambil gambar mereka.
Scott pula awal tahun ini dilaporkan berpisah dengan kekasih lamanya, aktres Amerika Syarikat, Kate Hudson walaupun dalam satu laporan, pemain Australia berusia 28 tahun itu menafikan Kate adalah teman wanitanya. Dia sebelumnya dilihat bersama Kate di pantai Hawaii.
Awalnya Scott tidak mahu bercakap banyak mengenai hubungannya bersama Ana dan cuba mengelak memberikan jawapan panjang lebar.
Namun, kehadiran Ana menemaninya di Loch Lomond, khamis lalu, menyebabkan Scott tidak dapat lari daripada menjawab soalan wartawan yang membuat liputan kejohanan itu. Ana dilihat mesra berbual dengan isteri Ernie Els, Liezl.
"Setiap orang tahu apa yang saya lalui dalam kehidupan sepanjang tahun lalu tapi saya tidak kata ia memberi kesan lansung terhadap persembahan buruk saya pada awal tahun ini. Tapi adalah bagus untuk bermain dengan fikiran lapang tanpa masalah yang mengusutkan fikiran.
"Ana juga seorang bintang sukan, jadi dia faham apa yang saya lalui, begitu juga tekanan yang saya hadapi. Saya peminat sukan tenis, jadi saya mungkin lebih seronok menyaksikannya bermain daripada dia menonton saya beraksi di sini," kata Scott ringkas apabila ditanya mengenai kehadiran Ana.
Apa yang jelas kehadiran Ana dalam hidup Scott membantu pemain Australia itu mengembalikan keyakinan diri yang selama ini terjejas berikutan masalah peribadi hingga menggugat persembahannya. Daripada pemain yang pernah menduduki tangga ketiga dunia, dia kini di ranking ke-44.
Jika Ana berasa mampu mengelak daripada menjadi tumpuan, tekaannya silap.
Jurugambar berada di sekeliling Ana, yang memilih baju berkotak-kotak warna perak dan hitam ketika menyaksikan kekasihnya beraksi pada pusingan pertama kejohanan yang menjadi pemanas badan sebelum terbuka British minggu depan.
"Saya tidak beraksi bagus sejak Qatar (Januari lalu). Saya cuba kekal positif. Saya benar-benar percaya saya melakukan perkara yang betul tapi ia nyata amat mengecewakan," kata Scott.
Namun Ana difahamkan tidak kisah dengan masa yang lama dihabiskan di lapangan golf menyaksikan kekasihnya beraksi hebat dengan lima pukulan birdie pada pusingan pertama.
Jika Scott, yang turut diminati bintang tenis Russia, Maria Sharapova, menamatkan zaman bujangnya bersama Ana, dia akan mengikut jejak legenda golf, Greg Norman, kini berkahwin dengan bekas bintang tenis, Chris Evert.
Ana mungkin belum setanding Evert yang memenangi 18 gelaran Grand Slam pada zamannya, tapi kedua-duanya adalah bekas pemain nombor satu dunia.
Ana, lebih dikenali di Australia sebagai 'Aussie Ana', dilaporkan berpisah dengan Verdasco hanya beberapa hari sebelum bertemu Scott di Noosa.
-Metro 12 Julai-
No comments:
Post a Comment