Susunan Hashim Ahmad
Manusia ialah salah satu makhluk ciptaan Allah untuk menghuni alam yang fana ini. Selain menjadi khalifah di bumi ini, Allah menciptakan manusia supaya mereka tunduk dan sujud menyembah-Nya. Keadaan ini jelas dinyatakan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: 'Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku'. -Surah az-Zarriyat: 56
Manusia diminta bersujud dan beribadat menyembah Allah kerana Dialah Yang Maha Berkuasa menjadikan kita. Manusia pertama yang dijadikan Allah di muka bumi ini ialah Nabi Adam a.s.
Allah menciptakan Adam daripada tanah. Kemudian Allah menghembuskan roh kepadanya sehingga Adam menjadi hidup.
Adam menggerakkan kedua-dua tangan dan kakinya lalu dia bersin (batuk) bergerak sekujur badannya, terbuka kedua-dua matanya, bergerak jantung dan paru-parunya.
Daripada gambaran di atas jelas kepada kita bentuk pertama kejadian manusia ialah tanpa ibu dan bapa. Tuhan mencipta Adam dengan tanah dengan tangan-Nya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
Nabi Adam a.s pada mulanya ditempatkan di syurga. Makanan dan minuman tersedia cukup. Semua yang diperlukan akan sedia ada. Dalam pada itu Nabi Adam tinggal di syurga seorang diri- sebatang kara.
Walaupun tempat tinggalnya selesa dan nyaman dengan makanan dan minuman yang lazat-lazat, namun semua itu tidak memberi kepuasan yang sempurna kepada Nabi Adam a.s. Manusia perlukan teman tempat ia mengadu dan mengemukakan suka dan dukanya atau kasih dan sayangnya.
Teman inilah yang tidak dipunyai oleh Nabi Adam a.s. Sebab itu hidupnya selalu dalam kesepian. Allah tahu keadaan dan kesepian yang dialami oleh Nabi Adam. Oleh kerana itulah Allah telah menciptakan makhluk baru yang sama dengan Adam tetapi daripada jenis wanita- Hawa. Tujuan utama Hawa diciptakan adalah untuk meramaikan permukaan bumi.
Hawa dicipta Allah tanpa disedari oleh Nabi Adam a.s. Apabila Adam berasa mengantuk dan tertidur, dewasa itulah Allah menciptakan Hawa- Bentuk kedua ciptaan makhluk manusia. Apabila Adam terbangun dan membuka kedua-dua belah matanya, dia melihat seorang wanita berdiri di sampingnya.
Adam dan Hawa diciptakan tanpa mempunyai ibu dan bapa. Dalam pada itu bentuk kejadian manusia yang ketiga ialah melalui ibu tapi tanpa ayah. Ini terjadi kepada Nabi Isa a.s yang dilahirkan oleh ibunya Mariam- seorang perempuan suci yang dinazar akan diserahkan oleh ibu dan bapanya untuk Rumah Suci Baitul Maqdis sebagai abdi dan pengawal tempat suci itu.
Berita mengenai ketibaan Isa a.s terjadi pada suatu hari ketika Mariam sedang beribadah mengabdikan diri kepada Allah seperti kebiasaan yang dilakukannya, tiba-tiba berdiri seorang lelaki di hadapannya. Alangkah terkejut dan terperanjatnya Mariam kerana selama dia berada di biliknya, tidak pernah seorang manusia pun masuk dan menghampirinya.
Mariam kelihatan mahu berpaling dan menghindarkan diri kerana pada sangkaannya lelaki itu ialah seorang yang jahat yang bercita-cita buruk terhadap dirinya sedang ia seorang wanita yang suci dan beriman. Mariam memohon daripada Allah agar dijauhkan dirinya daripada sebarang kejahatan.
Orang yang tidak dikenali oleh Mariam itu akhirnya memberi isyarat kepada Mariam supaya bertenang dan tidak takut serta tidak khuatir terhadapnya. Akhirnya orang itu berkata dia utusan Allah yang ditugas memberitahu Mariam yang dia akan mendapat seorang anak yang suci.
Mariam menerima berita itu dengan hati yang sedih dan penuh haru dan khuatir. Mulut dan lidahnya terasa terkunci. Dalam pada itu dicubanya untuk berkata yang antara lainnya berbunyi: 'Bagaimana saya akan memperolehi seorang anak sedang seorang manusia pun tidak pernah menyentuh tubuh saya dan saya pula bukanlah seorang yang jahat.'- Surah Maryam: Ayat 20.
Mendengar jawapan Mariam itu, malaikat Ruhul Quddus lantas menyatakan Allah telah berfirman yang antara lain bermaksud: 'Perkara itu amat mudah bagi-Ku supaya Kujadikan itu satu tanda kekuasaan untuk manusia dengan rahmat-Ku.'
Sejurus kemudian malaikat itu pun lenyap daripada pandangan Mariam- tidak diketahui arah perginya. Tinggallah Mariam seorang diri dalam kehairanan. Kini dia mulai khuatir kerana sudah pasti orang akan menjadi ribut dan riuh apabila mendengar yang dia telah hamil dan akan melahirkan anak tanpa mempunyai suami. Beberapa bulan kemudian, Mariam pun melahirkan Nabi Isa a.s.
Meneliti kejadian dan peristiwa kelahiran Nabi Isa a.s ini, nyata sekali ia satu perkara yang ganjil dan luar biasa. Sekali imbas ia tidak dapat diterima akal. Pelbagai tuduhan dan kata-kata fitnah telah dilemparkan kepadanya. Dalam pada itu semua itu diterimanya dengan sabar dan tenang sesuai dengan firman yang diwahyukan Allah kepadanya.
Bentuk kejadian manusia yang keempat sudah lumrah dan umum mengetahuinya. Bentuk ini terjadi apabila berlakunya proses persetubuhan baik secara halal atau secara haram antara lelaki dengan perempuan. Pertemuan air mani persetubuhan itu akan mengakibatkan seseorang perempuan itu mengandung.
Semasa dalam kandungan perempuan itulah air mani yang dikatakan lebih halus daripada hujung rambut, pada masa 40 hari diolah menjadi segumpal darah. Sesudah 40 hari pula, darah itu berubah menjadi segumpal daging dan daging itu selepas 40 hari pula menjadi kerangka tulang belulang, urat saraf, jantung, paru-paru, hati dan sebagainya.
Kemudian Allah menghembuskan roh sehingga manusia yang dikandung ibu itu bergerak ke kiri dan ke kanan. Selepas sembilan bulan, manusia ini lahir ke dunia berbentuk seorang bayi yang sempurna. Semua ini terjadi dengan kudrat dan iradat Allah semata-mata. Ia bukannya terjadi kerana kepandaian doktor atau para ahli yang lain.
Meneliti dan merenung secara mendalam terhadap bentuk-bentuk kejadian manusia ini akan membawa kita sedar dan insaf mengenai betapa besar dan bijaksananya Allah. Adam dijadikan daripada tanah yang kering tanpa ibu dan bapa. Hawa pula terjadi selepas Adam dicipta Allah. Nabi Isa a.s dilahirkan tanpa bapa dan kita semua dilahirkan melalui ibu dan bapa.
Sesungguhnya semua empat bentuk kejadian manusia ini adalah amat mudah bagi Allah. Ini jelas dari firman-Nya yang bermaksud: 'Hanya urusan (perintah) Allah itu bila Ia menghendaki mengadakan sesuatu Ia berkata: Jadilah engkau, lalu terjadilah ia.' - Surah Yasin: Ayat 82.
-Pesona Jun 2007-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment