Friday, July 31, 2009

Kemuncak Awan Biru

"Apa yang berlaku kepada Search tidaklah sampai mengganggu keseluruhan penganjuran" Amy

Tanggal 1 Ogos ini, Polo Pavillion, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur akan berlansungnya konsert kemuncak Search di Awan Biru selepas menggegarkan Seberang Perai, Johor Bahru, Jengka dan Kuala Terengganu.

Destinasi kelima yang dijangka dihadiri kira-kira 15,000 penonton ini menjanjikan kepuasan maksimum kepada pengikut setia band legenda ini apabila diserikan dengan 25 lagu selama dua jam setengah.

Banyak kelainan yang bakal diketengahkan Search dalam konsert hebat ini bersesuaian dengan produksi dan pentasnya yang lebih besar. Berita gembira ini dimaklumkan Amy apabila 'selebriti' Metro menghubunginya.

"Lebih istimewa, Kid akan beraksi di samping Hillary dan Din. Saya yakin, peminat sudah lama menantikan kemunculan Kid dan ia akan menjadi detik indah baik di pihak kami mahupun penonton.

"Ikut perancangan, saya akan menyanyikan 25 lagu tetapi jika ada masa lebih, mungkin jumlahnya akan meningkat. Apapun terpulang kepada keadaan pada malam itu nanti.

"Pintu akan dibuka pada jam 3 petang. Bermua jam 4.50 petang penonton akan dihiburkan dengan persembahan band indie, Revenge, diikuti Pesawat, Zip Ziller dan Republic of Brickfields. Setiap band akan mengadakan persembahan selama sejam. Search akan mengambil alih pentas jam 8.45 malam," katanya yang berharap konsert berkenaan menyemarakkan lagi bisnes hiburan tanah air.

Diminta mengulas desas-desus penganjuran konsert jelajah anjuran Art-Is At Work Sdn Bhd ini berdepan dengan banyak masalah termasuklah wang dilarikan individu tertentu sehingga ada lokasi terpaksa dibatal dan ditangguhkan, vokalis Search ini menafikan dakwaan itu.

Pun begitu dia mengakui memang ada masalah dalaman tapi ia perkara biasa dalam mana-mana penganjuran konsert dan tidak sewajarnya diperbesar-besarkan.

"Dalam penganjuran konsert, sedikit sebanyak pasti ada masalah. Tapi apa yang berlaku kepada Search tidaklah sampai mengganggu keseluruhan penganjuran. Kalau pun ada perubahan hanya tarikh persembahan dan adalah satu dua tempat terpaksa dibatalkan.

"Konsert di Kelantan misalnya, sepatutnya kami ke sana pada 5 Jun lalu terpaksa membatalkannya berikutan Sultan Kelantan gering, begitu juga Sabah dan Sarawak.

"Kami akan menyusun semula jadual siri jelajah ini selepas menjayakan konsert kemuncak ini. Insya-Allah kami akan ke Sabah dan Sarawak selepas sambutan Aidilfitri.

"Atas permintaan ramai, kami menambah satu lagi lokasi persembahan iaitu di Batu Pahat. Tidak sampai hati pula bila ramai merungut tidak dapat menonton persembahan kami di Johor Bahru kerana tiket habis. Harap-harap konsert itu nanti mendapat sambutan hangat seperti di Johor Bahru," kata Amy.

-Metro-

Wednesday, July 29, 2009

Fibroid Dalam Rahim

Lebih awal masalah dikesan, lebih tinggi peluang untuk diselamatkan

Ramai wanita menganggap diri mereka 'lengkap' dengan sifat kewanitaan apabila mengandung dan melahirkan anak; antara anugerah Allah yang tidak terhingga. Untuk tugas istimewa ini, wanita dibekalkan organ yang menakjubkan iaitu rahim atau dalam istilah perubatan ia dipanggil uterus.

Tahukah anda rahim juga mengalami proses penggantian semula setiap bulan, iaitu lapisan tisu bahagian dalam (dipanggil endometrium) akan luruh dan keluar sebagai darah haid sekiranya kehamilan tidak berlaku. Jika kehamilan berlaku, rahim akan menyimpan telur (ovum) yang sudah disenyawakan dengan sperma dan menampungnya sehingga waktu kelahiran.

Bagaimanapun, adakalanya ketumbuhan boleh wujud dalam rahim. Satu daripada ketumbuhan rahim yang biasa dialami ialah fibroid. Fibroid boleh berlaku dalam bentuk ketumbuhan tunggal atau ketumbuhan berganda dan ia perkara biasa yang dialami kebanyakan wanita dalam lingkungan umur subur (boleh mengandung). Ketumbuhan ini biasanya mengecut selepas menopaus.

Kebanyakan fibroid membesar di dalam dinding rahim dan jenisnya ditentukan mengikut lokasi ia tumbuh iaitu:
# Fibroid submukus - membesar daripada bahagian bawah salutan rahim ke bahagian dalam rahim.
# Fibroid intramural - membesar di antara otot rahim, pada bahagian dindingnya.
# Fibroid subserus - membesar di luar dinding rahim.
# Fibroid Pedunkel - membesar secara berangkai daripada permukaan bahagian luar rahim atau permukaan bahagian dalam rahim dan kadangkala menjalar keluar melalui serviks (pangkal rahim).

Punca fibroid masih tidak diketahui dengan jelas tetapi pakar sains berpendapat ia mempunyai kaitan dengan banyak faktor termasuk genetik, hormon dan alam persekitaran.

Apa yang pasti ialah satu daripada lima atau 20% wanita berusia kurang daripada 50 tahun mengalami masalah ini. Malah fibroid juga menjadi antara punca utama pembedahan pembuangan rahim atau histerektomi. Jika ini berlaku, seseorang wanita itu akan putus haid (menopaus) walaupun baru berusia 30 tahun!

Siapakah yang berisiko?
# Wanita pada usia kesuburan
# Wanita gemuk
# Wanita yang ada ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid
# Wanita yang tidak pernah melahirkan anak.

Biasanya fibroid tidak mempunyai gejala dan jika ada, ramai wanita tidak menyedarinya. Lebih 77% wanita tidak mengalami gejala yang membuatkan fibroid tidak dapat dikesan. Bagaimanapun, fibroid boleh menyebabkan gejala seperti:
# Pendarahan teruk atau kesakitan teruk sewaktu haid (senggugut)
# Rasa senak di bahagian bawah abdomen, juga dikenali sebagai 'tekanan pelvik'
# Kesakitan ketika mengadakan hubungan seks.
# Sakit atau pedih di bahagian bawah pinggang.
# Masalah sistem peranakan seperti ketidaksuburan, kerap keguguran dan gejala melahirkan anak tidak cukup bulan jika hamil.

Wanita yang alami masalah ini tidak perlu risau kerana kini ada banyak kaedah rawatan dan lebih awal masalah dikesan, lebih tinggi peluang untuk rahim anda diselamatkan. Antara pilihan rawtan ialah:
# Jika fibroid anda kecil dan tidak menunjukkan sebarang gejala, ia hanya memerlukan pemantauan yang kerap. Ia boleh dilakukan dengan cara imbasan ultra bunyi.
# Mengecutkan fibroid tanpa pembedahan dengan cara mengurangkan pengaliran darah kepadanya (embolisasi)
# Pembedahan untuk mengeluarkan fibroid tanpa memindahkan rahim (miomektomi)
# Pembedahan untuk membuang rahim (histerektomi).

Histerektomi adalah pilihan terbaik sekiranya anda membuat keputusan tidak mahu melahirkan anak lagi, fibroid anda mengakibatkan pendarahan yang teruk sehingga menyebabkan anemia atau kesakitan, atau jika saiznya terlalu besar.

Jika anda memilih kaedah ini, anda akan menopaus dan tidak lagi boleh mengandung.

-Metro 19 Julai-

Monday, July 27, 2009

Marwa Mangsa Perkauman


Meskipun Marwa Ali El-Sherbini, 31, hamil tiga bulan, namun tidak menimbulkan simpati kepada seorang lelaki yang dikenali Alex W, 28, apabila dia sanggup menikam wanita itu 18 kali sehingga maut.

Lebih menyedihkan, kejadian di dalam mahkamah di Landgericht, Dresden, Jerman itu turut disaksikan anak sulung Marwa berusia tiga tahun dikenali Mustafa.

Malang berganda dialami keluarga itu apabila suami Marwa, Elwi Ali Okaz, yang mahu membantu mangsa bukan saja ditikam, malah polis Jerman yang tiba di lokasi kejadian, menembak kakinya kerana menyangka dia penyerang.

Elwi yang mengalami kecederaan parah di paru-paru dan pinggang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua hari namun sehingga kini tiada laporan mengenai status kesihatannya.

Kematian Marwa mencetus konflik, terutama di kalangan umat Islam yang meluahkan kekecewaan dan kemarahan kepada kerajaan negara itu.

Selain itu, kes berkenaan turut mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa serta menjadi tajuk utama berita di negara kelahiran Marwa, Mesir.

Kejadian pada 1 Julai lalu berpunca daripada insiden di taman permainan berdekatan rumah Marwa di Dresden.

Ketika itu Marwa yang memakai tudung meminta laluan kepada Alex supaya membenarkan anak lelakinya bermain buaian di taman berkenaan tetapi dibalas dengan jeritan, 'pengganas', 'perempuan jahanam' dan 'kamu tidak layak menetap di sini'.

Marwa kemudian membuat laporan polis ke atas Alex, rakyat Jerman yang berketurunan Russia atas dakwaan bersikap kurang ajar.

Lelaki itu kemudian dijatuhkan hukuman denda sebanyak 780 euro (RM3,822).

Bagaimanapun, Alex mengemukakan rayuan dan hakim menetapkan 1 Julai lalu untuk mendengar permohonan berkenaan.

Pada hari ditunggu, hanya lapan orang saja dalam mahkamah berkenaan iaitu ahli panel daripada sebuah pertubuhan profesional, hakim, pendakwa, peguam bela, Alex, suami Marwa dan anak lelaki mereka.

Tiada pemeriksaan ketat dilakukan ke atas mereka yang menghadiri perbicaraan itu, termasuk tertuduh.

Ketika Marwa melangkah masuk ke mahkamah, Alex yang ketika itu di kandang tertuduh melompat keluar dan mengeluarkan senjata yang dibawa di dalam poketnya.

Tanpa belas kasihan, dia terus menikam Marwa di depan suami dan anaknya sebanyak 18 kali sambil menjerit, "Awak tidak sepatutnya hidup".

Sedang Elwi berusaha membantu isterinya daripada terus ditikam, dia juga menjadi mangsa apabila polis yang dipanggil untuk membantu melepaskan tembakan ke arah kakinya kerana menyangka dia penyerang.

Marwa maut di tempat kejadian manakal Elwi dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah dan ditempatkan di ICU.

Mayat Marwa dibawa pulang ke Kaherah dan pengebumian yang dilakukan pada 6 Julai lalu dihadiri lebih 2,000 rakyat Mesir yang simpati ke atas wanita berkenaan. Mereka menggelar Marwa sebagai seorang ibu dan wanita yang mati syahid.

Alex pula ditahan sebelum didakwa atas tuduhan membunuh. Perbicaraan dijangka dijalankan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Sejurus kejadian itu diketahui umum, orang ramai, terutama umat Islam melemparkan kemarahan kepada kerajaan Jerman dengan disusuli tindakan demonstrasi selain ada negara Islam menyatakan bantahan kepada kedutaan Jerman.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menuntut Jerman memikul tanggungjawab atas pembunuhan Marwa dan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengutuk negara itu.

Iran turut memanggil duta Jerman ke negara itu, Herbet Honsowitz bagi membantah pembunuhan berkenaan dan menggesa Berlin mengambil langkah keselamatan perlu bagi melindungi hak golongan minoriti agama di Jerman.

Rakyat Iran berkumpul di pintu masuk kedutaan Jerman di Teheran bagi membantah pembunuhan berkenaan, malah ada membaling telur ke arah pintu utama.

Bantahan sama turut berlaku di Mesir apabila rakyatnya membantah kekejaman yang dilakukan ke atas Marwa.

Marwa yang lahir pada 7 Oktober 1977, berhijrah ke Jerman pada 2005 kerana mengikut suaminya yang bekerja sebagai pensyarah di Universiti Minufiya. Mereka menetap di Bremen sebelum berpindah ke Dresden pada 2008.

Di negara itu, Marwa yang berpendidikan daripada El Nasr Girls College bekerja sebagai ahli farmasi.

-Metro 19 Julai-

Friday, July 24, 2009

Lautan Makanan Terbiar

Britain, Eropah, Amerika mampu atasi masalah kebuluran dunia



Tomato yg dibuang begitu saja

Bayam yang terbiar begitu saja di Norfolk apabila ia ditolak peniaga

Ubi kentang yang tidak dikehendaki dilambakkan di Essex


Buah oren yang rosak di California


Ribuan pisang terbuang di Costa Rica


Terlalu banyak lobak merah dan ubi kentang dibiarkan begitu saja



Tanpa disedari, longgokan makanan terbiar rosak di Britain, Eropah dan Amerika Syarikat sebenarnya mampu mengatasi tujuh kali ganda masalah kebuluran dunia.

Lebihan makanan setiap rumah di Britain pula - jika dikumpulkan - boleh mengenyangkan kira-kira 113juta orang.

Secara purata, penduduk Britain membazirkan makanan di rumah masing-masing dalam kuantiti bersamaan dengan keperluan harian dua mangsa kelaparan.

Sebuah buku ditulis peladang kecil-kecilan dan penganalisis industri makanan, Tristram Stuart, sepatutnya mampu membuka mata kita mengenai pengurusan bahan makanan harian.

Bertajuk Waste, Stuart menyiapkan bahan itu dengan mendokumentasi proses penghasilan makanan - bermula dari ladang, kilang dan akhirnya dipasarkan di kedai atau pasar raya.

Dia mengembara ke serata dunia, termasuk China, Pakistan dan Jepun. Hasil penelitian Stuart, separuh daripada bahan makanan terbuang begitu saja sebelum ia sempat tiba kepada pengguna.

Pengamatan Stuart mendapati:
# 30% ubi kentang atau satu bagi setiap tiga yang dijual terbuang begitu saja di Britain.
# Peladang dan pengilang menyebabkan hampir sejuta tan pembaziran ubi kentang setahun.
# Pembaziran pengguna pula sebanyak 358,000 tan.
# Di antara 40 hingga 60% daripada keseluruhan ikan ditangkap di Eropah dibuang semula ke laut.
# Greenpeace menganggarkan, daripada 186 juta ikan ditangkap di perairan Britain, 117 juta mati dan dibuang ke laut - biasanya kerana terlalu kecil, bukan spesies diinginkan atau melebihi kuota ditetapkan ke atas nelayan.
# Nilai pasaran bagi beberapa jenis ikan yang ditangkap nelayan dan dibuang semula mencecah RM292.5 juta.
# Syarikat Marks & Spencer mengarahkan pembekal sandwic untuk mereka, Hain Celestial Group, mengetepikan empat potong roti bagi setiap buku digunakan - kepingan berkerak dan kepingan selepasnya. Ia menyebabkan 13,000 kepingan roti dibazirkan sehari di kilang itu.
# Pengguna Britain membuang 484 juta tin yogurt tanpa sempat dibuka, serta pisang bernilai lebih RM2 bilion.

Menurut Stuart, pihak pasar raya melakukan kesalahan khusus apabila enggan mendedahkan nilai makanan yang dibuang.

"Pasar raya bersungguh-sungguh memastikan produk kegemaran pelanggan sentiasa ada dijual bagi mengelakkan mereka beralih ke tempat lain.

"Sebuah pasar raya menjelaskan, amalan itu memaksa mereka meletakkan produk lebih banyak berbanding permintaan sebenar dan tidak keberatan jika ia akhirnya terbuang atau rosak begitu saja," katanya.

Menurut Stuart, peniaga juga yakin pelanggan akan lebih tertarik datang ke premis mereka apabila mendapati semua rak berisi dengan pelbagai barang.

"Alasan lain, pasar raya mendapat lebih keuntungan jika meningkatkan stok masing-masing," katanya.

Sebagai contoh, katanya, sebungkus sandwic 200gm hanya memerlukan kos kurang daripada satu pence tetapi keuntungan diperoleh mencapai 100 kali ganda.

Pasar raya Sainsbury's menyatakan, kira-kira 60,000 tan makanan dihantar ke tapak pembuangan sampah setiap tahun, manakala rangkaian pasar raya Asda melupuskan kira-kira 75,000 tan.

Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah apabila banyak pasar raya berjanji berusaha mengurangkan pembaziran makanan di setiap premis mereka.

Morrisons berjanji menurunkan kadar pembuangan sehingga separuh menjelang tahun depan, selepas Sainsbury's dan Asda mengumumkan rancangan mereka.

Tesco pula berharap dapat menghantar 80% bahan terbuang itu untuk dikitar semula menjadi bahan bakar.

Kaji selidik oleh syarikat pengurusan bahan buangan, Biffa, mendapati hampir separuh daripada buah-buahan dan sayur-sayuran ditanam untuk pasar raya akhirnya terbuang begitu saja.

Antara lain, ia kesan pelaksanaan sistem spesifikasi yang ketat.

Kata Stuart, lambakan makanan terbuang bukan sekadar satu tragedi kemanusiaan, sebaliknya boleh membuka potensi lain jika dimanfaatkan.

"Ada kira-kira 900 juta warga dunia kekurangan zat ketika ini dan mereka boleh diselamatkan daripada kebuluran dengan menguruskan bahan berkenaan," katanya.

Menurut Stuart, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyokong saranan mengurangkan pembaziran makanan sehingga separuh menjelang 2025.

"Sebenarnya sasaran itu boleh dicapai lebih awal dengan kerjasama ahli perniagaan, kerajaan dan orang awam," katanya.

-Metro 19 Julai-

Tuesday, July 21, 2009

Artis Pernah Jadi Mangsa Tondeurs

(Tentera AS mengenakan pakaian seperti era perang Dunia kedua di Arromanchesles-Bains - tempat pasukan itu mendarat pada detik D-Day dulu sempena ulang tahun ke-65)


(Lakonan semula... batalion payung terjun tentera Britain mendarat di luar Ranville berhampiran Caen, Perancis seperti dilakukan pasukan itu 65 tahun lalu)

Di Villedieu pula, seorang daripada mangsa tondeurs itu hanyalah wanita tempatan yang menjadi tukang cuci pangkalan tentera Jerman.

Sebahagian besar mangsa adalah pelacur yang tiada sebarang hubungan dengan tentera Nazi, kecuali atas dasar tugas mereka menjadi pemuas nafsu.

Wanita yang menggugurkan kandungan juga mudah dikaitkan dengan 'kesalahan' bersekongkol dengan tentera Jerman dan terdedah dibotakkan.

Legenda filem dan model Perancis, Arletty (nama sebenarnya adalah Leonie Marie Julie Bathiat), pernah menjadi mangsa tondeurs.

Namun, rahsia itu tidak diketahui hampir semua orang, sehinggalah selepas dia mati pada Julai 1992.

Beberapa surat disiarkan akhbar ketika itu membongkar rahsia Arletty hampir 50 tahun selepas kejadian memalukan itu berlaku.

Puncanya, bukan Arletty berasmara dengan tentera Nazi, sebaliknya orang ramai berang melihat dia menikmati malam lazat di Hotel Ritz di Paris ketika majoriti rakyat negara itu kelaparan.

Biasanya, selepas dicukur, wanita botak itu akan dimasukkan ke dalam lori dan diarak di khalayak ramai.

Sesekali, perarakan itu lebih 'meriah' apabila turut disertai paluan gendang seperti Perancis meraikan kejayaan revolusi pada 1789.

Sesetengah mereka dipalit tar, dikoyakkan pakaian sehingga separuh bogel atau diconteng dengan lambang swastika menggunakan cat serta lipstik.

Sejarawan Amerika Syarikat, Forrest Pogue, berkata wajah mangsa tondeurs sentiasa ketakutan seolah-olah seekor haiwan buruan yang ditangkap.

Komander tentera AS di Argentan, Kolonel Harry D McHugh, berkata orang ramai biasanya mengepung wanita yang dituduh pengkhianat sebelum menangkap mereka untuk dicukur.

"Rambut mereka dikumpul dan dibakar menyebabkan baunya dapat dihidu dari jauh.

"Mangsa juga dipaksa berlari dan dikejar sebelum dibelasah," katanya.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 20,000 wanita Perancis dibotakkan sepanjang tempoh tentera Bersekutu membebaskan negara itu daripada Jerman.

Bagaimanapun, pengkaji percaya, perangkaan sebenar jauh lebih tinggi kerana jumlah bayi yang dilahirkan wanita Perancis hasil hubungan mereka dengan tentera Nazi mencapai 80,000 orang.

-Metro 9 Jun-

20,000 Wanita Perancis Dibotak

Hukuman terhadap dakwaan bersekongkol dengan tentera Nazi



Ketika Washington dan Paris bergembira meraikan ulangtahun ke-65 pendaratan tentera Bersekutu di pantai Normandy- sekaligus permulaan pembebasan Perancis daripada tentera Nazi- tidak ramai yang mahu mengingat kekejaman dilakukan terhadap wanita di negara itu.

Lazimnya, sambutan detik digelar D-Day itu dipenuhi acara meriah dan berwarna-warni meraikan pembebasan Perancis.

Namun, pada 1944 itu, penganiayaan ke atas wanita yang dituduh bersekongkol dengan tentera Nazi berleluasa.

Atas hujah 'menghukum' ramai wanita ditangkap dan dicukur kepala.

Mengikut sejarah, amalan membotakkan kepala mula dikesan pada era Visigoths di Balkan dan pernah menguasai pusat pemerintahan empayar Rom di abad keempat.

Kemudian, amalan mencukur itu diteruskan pada zaman pertengahan bagi menghukum seseorang yang berzina.

Amalan itu diperkenalkan semula selepas tentera Perancis menakluki Rhineland, Jerman pada 1923.

Pada era Perang Dunia kedua, Nazi mengarahkan mana-mana wanita Jerman yang membenarkan diri mereka ditiduri lelaki bukan berbangsa Aryan (rejim Nazi menganggap lelaki Jerman adalah keturunan Aryan) atau banduan asing yang bekerja di ladang mesti dibotakkan.

Amalan sama turut dikesan ketika Sepanyol berdepan perang saudara di antara Falangists (pengikut kumpulan Falange) dengan penyokong republikan.

Apabila Perancis dibebaskan daripada Nazi, amalan itu berterusan, tetapi kebanyakan tondeurs (tukang cukur) sebenarnya mengambil kesempatan daripada keadaan semasa.

Sebenarnya, sesetengah pejuang Perancis yang berjuang menentang Nazi di negara itu kurang aktif mencukur rambut wanita.

Sebaliknya, ramai lelaki lain yang tidak berjuang berasa malu dan bersalah apabila Jerman dikalahkan.

Justeru, untuk mengalih perhatian masyarakat, mereka menonjolkan diri kononnya sebagai pejuang dan giat menghukum wanita yang dianggap bersekongkol dengan tentera Nazi.

Di kalangan pemberontak, kezaliman mereka mencukur rambut wanita mula diamalkan sejak pergerakan itu aktif di bawah tanah pada 1941.

Sejak peristiwa D-Day, amalan mencukur rambut wanita yang didakwa 'berdosa' berlaku berleluasa.

Setiap kali kampung atau bandar ditawan semula, tondeurs akan sibuk mencari mangsa.

Pada pertengahan Jun, berbelas wanita di bandar Carentan ditangkap dan dicukur rambut mereka di khalayak ramai sebaik ia dikuasai tentera Bersekutu.

Di Cherbourg, berpuluh wanita botak - kebanyakannya remaja - diarak dalam lori di bandar itu.

-Metro 9 Jun-

Sunday, July 19, 2009

Belum Bersedia

Skuad negara perlu baiki pencapaian jika mahu berjaya di Shanghai

Jurulatih memanah negara, Lee Jae-hyung menganggap barisan kebangsaan masih belum cukup bersedia untuk menghadapi Piala Dunia Keempat di Shanghai, China, 4-9 Ogos depan, selepas menamatkan Grand Prix Asia Ketiga, semalam, dengan dua pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Sekalipun pencapaian itu mengatasi prestasi pada Grand Prix Asia Pertama, namun dua emas terbabit disumbangkan acara compound, yang tidak dipertandingkan di Shanghai ketika semua pemanah recurve tumbang kepada wakil Korea Selatan.

Sambil mengakui kurang gembira dengan pencapaian keseluruhan Malaysia, Jae-hyung menganggap beberapa pemanah mencatat peningkatan, namun ada yang makin bermasalah.

"Graf prestasi pemanah wanita, S Anbarasi dan Amirah (Mohamed) selain pemanah lelaki, Cheng Chu Sian menunjukkan peningkatan positif. Jika mereka meneruskan persembahan seperti ini, saya jangka mereka akan menguasai beberapa kejohanan berikutnya.

"Tapi, perkara sebaliknya berlaku kepada Wan Khalmizan (Wan Abd Aziz) dan Izuddin (Abd Rahim), yang makin merosot dan ditenggelamkan pemanah pelapis. Memang sukar untuk mengekalkan prestasi dalam setiap kejohanan, namun mereka sudah mengambil masa agak lama untuk kembali bangkit.

"Begitupun, mereka pertaruhan terbaik ketika ini dan saya sudah mengambil keputusan untuk menyenaraikan Khalmizan dan Izuddin ke Shanghai," katanya.

Lapan pemanah (empat lelaki dan empat wanita) sudah berada dalam perancangan Jae-hyung iaitu Chua Sian, Khalmizan, Izuddin dan Zulkifli Tahir sementara S Anbarasi mengetuai senarai wanita yang turut membabitkan Amirah, Noor Aziera Taib serta Fepriyenita Anuar.

Final dua acara recurve, individu dan berpasukan lelaki menjadi tumpuan hari terakhir Grand Prix Asia ketiga di Majlis Sukan Negara (MSN), Keramat, semalam namun Malaysia tewas kedua-duanya kepada Korea Selatan.

Recurve individu lelaki menyaksikan Chua Sian tewas, 108-111 kepada bekas pemenang emas Sukan Olimpik Athens, Jang Yong Ho sebelum trio recurve negara, yang dibarisi Chua Sian, Khalmizan dan Zulkifli, tumbang 212-213 di tangan kuasa besar memanah dunia itu.

Korea Selatan nyata gagal digugat apabila menyapu bersih emas dalam semua empat recurve yang disertai. Namun, ia masih belum cukup untuk menggembirakan jurulatihnya, Moon Hyung Cheol.

"Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan kami akan membuat pemilihan semula demi mewujudkan skuad lebih kuat ke Shanghai. Saya masih belum berpuas hati dengan catatan pemanah kami kerana belum mampu menjanjikan kejayaan pada misi utama 2009, Kejohanan Dunia di Ulsan, Korea Selatan (September depan)," katanya.

Mujur Korea Selatan tidak menyertai acara compound sekali gus memberi laluan kepada pemanah tuan rumah, Kelvin Hoo menewaskan rakan senegara, Lang Hon Keong, 115-113 pada final sebelum Fatin Norfatehah Mat Salleh menyumbang emas kedua apabila menyingkirkan wakil Singapura,112-108 dalam saingan wanita.

-Metro 12 Julai-

Cinta Pupuk Semangat

Ana dan Scott saling memberi sokongan dengan harapan prestasi mereka kembali ke tahap terbaik
Tiada siapa dapat menafikan lagi percintaan terbaru bintang tenis, Ana Ivanovic dengan jaguh golf Australia, Adam Scott.

Pemain Serbia itu yang baru-baru ini diundi sebagai 'atlit wanita tercantik di dunia' sudah sah meninggalkan bekas kekasihnya, pemain tenis Sepanyol, Fernando Verdasco.

Kelibat Scott, bekas pemain golf nombor tiga dunia, pada kejohanan tenis Wimbledon, baru-baru ini dan kehadiran Ana menemani kekasih barunya itu pada kejohanan golf Terbuka Scotland di Loch Lomond yang berakhir hari ini, melenyapkan terus tanda tanya mengenai hubungan mereka.

Bagaimana mereka bertemu? Menurut laporan, mereka bertemu di Sunshine Coast awal tahun ini, beberapa hari sebelum Ana bertanding pada Terbuka Australia di Melbourne.

Mereka kelihatan mesra menghabiskan masa di tepi pantai Noosa, Queensland, dan paparazzi tidak melepaskan peluang mengambil gambar mereka.

Scott pula awal tahun ini dilaporkan berpisah dengan kekasih lamanya, aktres Amerika Syarikat, Kate Hudson walaupun dalam satu laporan, pemain Australia berusia 28 tahun itu menafikan Kate adalah teman wanitanya. Dia sebelumnya dilihat bersama Kate di pantai Hawaii.

Awalnya Scott tidak mahu bercakap banyak mengenai hubungannya bersama Ana dan cuba mengelak memberikan jawapan panjang lebar.

Namun, kehadiran Ana menemaninya di Loch Lomond, khamis lalu, menyebabkan Scott tidak dapat lari daripada menjawab soalan wartawan yang membuat liputan kejohanan itu. Ana dilihat mesra berbual dengan isteri Ernie Els, Liezl.

"Setiap orang tahu apa yang saya lalui dalam kehidupan sepanjang tahun lalu tapi saya tidak kata ia memberi kesan lansung terhadap persembahan buruk saya pada awal tahun ini. Tapi adalah bagus untuk bermain dengan fikiran lapang tanpa masalah yang mengusutkan fikiran.

"Ana juga seorang bintang sukan, jadi dia faham apa yang saya lalui, begitu juga tekanan yang saya hadapi. Saya peminat sukan tenis, jadi saya mungkin lebih seronok menyaksikannya bermain daripada dia menonton saya beraksi di sini," kata Scott ringkas apabila ditanya mengenai kehadiran Ana.

Apa yang jelas kehadiran Ana dalam hidup Scott membantu pemain Australia itu mengembalikan keyakinan diri yang selama ini terjejas berikutan masalah peribadi hingga menggugat persembahannya. Daripada pemain yang pernah menduduki tangga ketiga dunia, dia kini di ranking ke-44.

Jika Ana berasa mampu mengelak daripada menjadi tumpuan, tekaannya silap.

Jurugambar berada di sekeliling Ana, yang memilih baju berkotak-kotak warna perak dan hitam ketika menyaksikan kekasihnya beraksi pada pusingan pertama kejohanan yang menjadi pemanas badan sebelum terbuka British minggu depan.

"Saya tidak beraksi bagus sejak Qatar (Januari lalu). Saya cuba kekal positif. Saya benar-benar percaya saya melakukan perkara yang betul tapi ia nyata amat mengecewakan," kata Scott.

Namun Ana difahamkan tidak kisah dengan masa yang lama dihabiskan di lapangan golf menyaksikan kekasihnya beraksi hebat dengan lima pukulan birdie pada pusingan pertama.

Jika Scott, yang turut diminati bintang tenis Russia, Maria Sharapova, menamatkan zaman bujangnya bersama Ana, dia akan mengikut jejak legenda golf, Greg Norman, kini berkahwin dengan bekas bintang tenis, Chris Evert.

Ana mungkin belum setanding Evert yang memenangi 18 gelaran Grand Slam pada zamannya, tapi kedua-duanya adalah bekas pemain nombor satu dunia.

Ana, lebih dikenali di Australia sebagai 'Aussie Ana', dilaporkan berpisah dengan Verdasco hanya beberapa hari sebelum bertemu Scott di Noosa.

-Metro 12 Julai-

RM174,000 Satu Malam

Michelle ketuai sindiket bekal pelacur paling mahal di dunia


Michelle (kanan) dan Paris Hilton. Tidak diketahui kaitan Paris dengan kegiatan Michelle.


Los Angeles: Michelle Braun, ibu dua anak mengaku mengendalikan sindiket membekal pelacur paling mahal di dunia kepada selebriti, ketua syarikat perniagaan dan tokoh politik.

Kira-kira 70 wanita, termasuk model fesyen, pelakon, model majalah playboy yang bekerja untuknya dikatakan mampu mendapatkan bayaran sehingga RM174,000 satu malam.

Untuk bahagiannya, Michelle sudah mengumpul kira-kira RM29 juta.

Wawancaranya dengan majalah Rolling Stones dua tahun lalu menjadi punca kejatuhannya.

"Apa yang saya lakukan ialah memperkenalkan gadis terkenal dengan lelaki kaya yang ingin menemui mereka," katanya dalam temuramah itu.

Hasil siasatan, pendakwa raya di California membongkar sindiket pelacuran yang dikendalikannya.

Michelle, 31, mengenakan bayaran RM5,800 terhadap lelaki yang mahu mendaftar di laman webnya sebelum mereka dibenar melihat gambar wanita yang boleh dilanggan.

Bayaran itu jauh lebih tinggi berbanding yang dikenakan oleh ibu ayam yang terkenal sebelum ini, Heidi Fleiss.

Identiti pelanggan Braun masih belum didedahkan.

Bagaimanapun, peguamnya berkata, mereka termasuk individu terkenal.

"Anda akan terkejut jika mengetahuinya," kata peguam berkenaan, Marc Nurik.

Penyiasat memerangkap Braun selepas dia bersetuju menghantar seorang pelacurnya dari Los Angeles ke New York untuk menemui seorang ejen penyiasat yang menyamar sebagai pelanggan.

Penahanannya mencetuskan rasa cemas di seluruh Hollywood apabila penyiasat merampas komputer dan rekod telefonnya.- Agensi

-Metro 26 Jun-

Saturday, July 18, 2009

Ronaldo Bukan 'Playboy'

Dolores anggap sikap anaknya yang suka bertukar teman wanita lumrah orang muda.

Ibu bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mempertahankan anaknya sebagai bukan kaki perempuan meskipun teman wanitanya bersepah keliling pinggang. Bagi Dolores Aveiro, tidak salah Ronaldo mempunyai ramai teman wanita kerana dia masih muda dan bujang.

Melihat kepada berita yang memaparkan bagaimana Cristiano Ronaldo kerap menukar teman wanita bagaikan menukar baju, pasti ramai menganggapnya 'playboy' atau kaki perempuan.

Namun di mata wanita yang amat disanjung Ronaldo- ibunya, Dolores Aveiro anaknya itu bukan 'playboy'.

"Saya menggalakkannya keluar dan bertemu ramai wanita yang mempunyai pelbagai latar belakang kerana dia masih muda serta bujang."

"Dia perlu berseronok. Tapi dia bukan 'playboy' biarpun imejnya menunjukkan sebaliknya," kata Dolores.

"Apa sahaja dalam dunianya ketika ini bersinar-sinar. Saya amat gembira dan bangga. Dia gembira bermain untuk Real Madrid."

Begitupun, di kalangan wanita yang dikaitkan dengan Ronaldo, Dolores mungkin paling tidak gemar Paris Hilton.

Perasaannya digambarkan apabila dia meminta bekas teman wanita Ronaldo, Nereida Gallardo, kembali ke pangkuan anaknya tidak lama selepas berita pemain itu keluar dengan Paris di Amerika Syarikat tersiar baru-baru ini.

Ronaldo memutuskan hubungan dengan Nereida menerusi teks pesanan ringkas, tapi mereka berpeluang bertemu lebih kerap kerana model jelita itu tinggal di Sepanyol.

Seorang rakan keluarga Ronaldo berkata: "Dolores kecewa dengan cara Ronaldo melayan Nereida. Dia bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Nereida."

"Dolores sukakan Nereida dan pasti dia calon isteri paling sesuai untuk Ronaldo."

"Selepas percintaan kedua-duanya gagal, Dolores masih berhubung dengan Nereida dan membantu mengubat kekecewaannya."

"Dia kemudian menyuruh Cristiano supaya memohon maaf kepada Nereida dan meminta Nereida memaafkan anaknya."

Mereka bercinta selama lapan bulan sebelum berpisah Julai tahun lalu.

Dalam temubual dengan akhbar News of The World tahun lalu, Nereida mengaku berang dengan cara Ronaldo memutuskan hubungan mereka.

"Dia penakut dan tidak berani memberitahu mengenainya secara berdepan," katanya.

Nereida turut menyalahkan Dolores sebagai punca perpisahan.

Katanya: "Dia menelefon ibunya setiap hari. Saya tidak terkejut jika teman wanitanya selepas ini hasil pilihan ibunya."

Seorang rakan Ronaldo memberitahu, pemain itu rasa terkilan dengan caranya memutuskan hubungan.

"Ronaldo menyedari tindakannya itu salah, jadi dia menghantar mesej memohon maaf dan mereka kini kembali bertukar-tukar mesej," katanya.

Tapi, sama ada Ronaldo akan kembali ke pangkuan Nereida masih samar. Apa yang pasti kelibatnya bersama ramai wanita glamor akan terus terpapar dalam majalah dan akhbar sehinggalah dia membuat keputusan untuk berkahwin.

Friday, July 17, 2009

Anak Sakit Mata

Bersama Pakar Kanak-kanak Dr Syed Nazir Syed Kadir (Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya)

Jika renung bahagian putih mata bayi anda, anda boleh melihat beberapa salur darah yang halus. Jika satu daripada salur darah halus itu pecah, anda akan lihat darah pada mata putih. Keadaan itu dipanggil pendarahan subkonjunktiva yang biasanya berlaku ketika kelahiran.

Bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana ia tidak berbahaya dan tidak memerlukan rawatan. Pendarahan tidak menjejaskan mata dan kesan darah biasanya hilang perlahan-lahan dalam tempoh dua minggu.

Cara menjaganya juga mudah. Yang anda perlu lakukan hanya membersihkan keliling mata bayi dengan kain lembut. Jangan gunakan sabun kerana ia mata si kecil.

Mata bayi sangat sensitif dan antara masalah kerap berlaku ialah duktus (salur) air mata tersumbat dan konjunktivitis (sakit mata).


Duktus air mata tersumbat

Air mata membersih dan melembabkan mata. Ia dihasilkan di dalam kelenjar lakrimal di bawah tulang pada kening. Cecair daripada kelenjar lakrimal masuk ke dalam mata melalui duktus kecil sepanjang kelopak mata.

Air mata keluar melalui dua bukaan kecil di hujung dalam kelopak mata itu, kemudian memasuki saluran lebih besar dari mata ke dalam hidung yang dipanggil duktus nasolakrimal.

Pada sesetengah bayi, bukaan ke dalam duktus nasolakrimal tidak terbentuk sempurna. Ini menyebabkan saluran tersekat dan air mata tidak boleh keluar. Saluran duktus yang tersumbat boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah mata, sepanjang masa atau sekejap saja.

Mempunyai salur air mata tersumbat bukan bermakna bayi anda tiada air mata. Apabila salur air mata tersumbat, air mata tidak boleh keluar seperti biasa. Jadi air mata itu berkumpul dan membanjiri mata.


Gejala

Oleh kerana bayi tidak menghasilkan air mata sehingga berumur beberapa minggu, masalah saluran air mata tersumbat kadang kala sukar dikesan ketika dilahirkan. Antara gejala paling biasa berlaku ialah:
- Air mata bergenang atau berkumpul pada hujung mata.
- Air mata membasahi bulu mata dan pipi walaupun bayi tidak menangis.
- Kehadiran mukus atau bahan kekuningan pada mata.
- Kulit menjadi merah akibat digosok.

Masalah itu lebih nyata hanya apabila bayi menangis atau dalam cuaca sejuk dan berangin, iaitu apabila penghasilan air mata diransang. Gejala duktus air mata tersumbat mungkin menyerupai masalah perubatan lain. Rujuk kepada doktor untuk kepastian.


Pengesanan dan rawatan

Masalah duktus air mata tersumbat biasanya dikesan berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal ke atas bayi. Ujian tambahan mungkin tidak diperlukan. Rawatan biasa ialah mengurut perlahan-lahan duktus nasolakrimal dua atau tiga kali sehari.

Doktor anda akan menunjukkan cara melakukannya. Jika ada tanda jangkitan, doktor mungkin memberi antibiotik khusus untuk mata.

Namun, hampir semua masalah duktus air mata tersumbat sembuh sendiri apabila anak anda berusia setahun. Jika masalah itu berlarutan selepas bayi berumur setahun, bukaan duktus boleh dibesarkan menggunakan prob kecil iaitu alat halus mudah lentur untuk memeriksa lubang atau saluran.

Kaedah itu sangat berkesan (90 hingga 95 berjaya hanya dengan sekali rawatan). Namun adakalanya ia perlu diulang kerana masalah salur air mata tersumbat boleh berlaku semula.

Sangat jarang kanak-kanak memerlukan pembedahan untuk membetulkan duktus air mata yang tersumbat. Hanya apabila kaedah itu tidak berjaya baru langkah pembedahan diambil.


Konjunktivitis

Ia juga dipanggil mata merah disebabkan keradangan konjunktiva mata. Konjunktiva ialah membran atau selaput nipis yang menyelaputi lapisan dalam mata dan menutup mata sebenar.

Konjunktivitis boleh disebabkan jangkitan bakteria, virus, pendedahan terhadap bahan kimia (biasanya berlaku pada bayi baru lahir selepas penggunaan ubat mata bagi mencegah masalah lain) dan alahan.

Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu konjunktivitis bayi dan konjunktivitis kanak-kanak yang berbeza punca dan rawatannya.


Konjunktivitis pada bayi

# Konjunktivitis bahan kimia - Ini adalah keradangan pada mata disebabkan penggunaan cecair titis mata yang diberi pada bayi untuk mencegah jangkitan bakteria. Kadangkala bayi bertindak balas pada cecair itu dan mengalami sakit mata. Mata bayi menjadi merah dan radang berlaku beberapa jam selepas cecair mata diberi. Ia boleh berlarutan selama 24 hingga 36 jam dan biasanya tidak memerlukan rawatan.

# Konjunktivitis gonokokal - Disebabkan bakteria Neisseria-gonorrhea. Bayi mendapat jangkitan itu ketika lahir (daripada ibu yang dijangkiti). Jenis konjunktivitis itu boleh dicegah dengan menggunakan cecair titis mata sebaik bayi lahir.

Mata bayi biasanya menjadi sangat merah dan bengkak pada kelopak mata. Gejala bermula dua hingga empat hari selepas lahir. Bayi diberi antibiotik secara intravenus (disuntik ke dalam salur darah).

# Konjunktivitis Chalamydia - Ia disebabkan bakteria Chalamydia Trachomatis. Gejalanya termasuk mata merah, bengkak pada konjunktiva dan kelopak mata yang biasanya berlaku lima hingga 12 hari selepas lahir. Bayi akan diberi antibiotik (makan).

# Punca bakteria lain - Selepas seminggu dilahirkan, bakteria lain juga boleh menyebabkan konjunktivitis. Mata menjadi merah dan bengkak serta duktus air mata tersekat. Rawatan bergantung kepada punca jangkitan tetapi biasanya bayi diberi antibiotik titis, balsam mata atau tuam pada mata.


Konjunktivitis kanak-kanak

Konjunktiva membengkak dan berlaku jangkitan. Ini adalah masalah biasa pada kanak-kanak. Malah, ia biasa berlaku pada kanak-kanak sekolah atau yang dihantar ke pusat jagaan harian. Ini disebabkan jangkitan bakteria, virus, alahan dan herpes.

Antara gejala boleh dialami kanak-kanak ialah:

# Mata gatal dan berasa rengsa.
# Mata berair (biasanya disebabkan alahan atau jangkitan virus)
# Bersin dan hidung berair (disebabkan alahan)
# Tahi mata yang cair (disebabkan alahan)
# Tahi mata yang melekit berwarna kehijauan (disebabkan jangkitan bakteria)
# Lesi dan keruping pada kelopak mata (disebabkan jangkitan herpes)
# Kelopak mata melekat dan sukar dibuka pada waktu pagi
# Kelopak mata bengkak
# Mata menjadi merah
# Mata terasa sakit dan sensitif terhadap cahaya


Pengesanan dan rawatan

Biasanya masalah itu dikesan berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal pada mata. Sampel cecair mata biasanya tidak diperlukan, tetapi ia mungkin diambil bagi menguji punca jangkitan.

Doktor akan menentukan rawatan sesuai untuk setiap pesakit berdasarkan umur, tahap kesihatan keseluruhan dan sejarah perubatannya.

Doktor juga akan menilai tahap masalah dan sama ada anak anda alah terhadap ubat, prosedur atau terapi tertentu.

Rawatan khas bergantung kepada punca konjunktivitis anak anda. Jika disebabkan bakteria, doktor akan memberikan antibiotik titis.

Jika disebabkan virus, ia tidak perlukan rawatan. Bagaimanapun, doktor mungkin memberi antibiotik titis untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan seterusnya.

Andainya ia disebabkan alahan, rawatan biasanya tertumpu untuk mengurangkan kesan alahan. Anak anda mungkin diberi ubat titis atau ubat makan.

Kanak-kanak yang alami konjunktivitis akibat herpes akan dirujuk kepada pakar mata.

Anak anda akan diberi ubat oral dan titis. Ini adalah jangkitan lebih serius dan boleh menyebabkan parut pada mata dan kehilangan penglihatan.

Jangkitan boleh melarat dari satu mata ke sebelah lagi atau kepada orang lain melalui sentuhan pada mata yang dijangkiti.

Justeru, anda perlu mencuci tangan dengan bersih sebelum dan selepas memberi ubat atau membersihkan mata anak. Cecair mata itu sangat berjangkit dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas rawatan dimulakan.


-Metro 12 Julai 2009-

Thursday, July 16, 2009

Cinta Lara Natrah, Mansor

Konflik Berdarah Natrah 1950

Dia bukan Elizabeth Taylor atau Rita Haywood, tetapi sejak bersekolah rendah saya tahu siapa itu Natrah. Tidak pernah menatap wajah, maklum saja era 1970-an bukan seperti era digital, namun cerita Natrah dikisahkan ibu dan ayah menarik minat untuk budak seperti saya mengikuti lanjut.

Kebetulan ketika konflik berdarah Natrah pada 1950, ibu dan ayah masih menetap di Singapura, tentu saja cerita disampaikan bukan atas mulut ke mulut, tetapi secara realiti. Malah kata ibu, ketika konflik Natrah, ayah terbabit dalam pemberitaan sebelum serius menjadi orang filem.

Menginjak remaja, gelodak ingin tahu Natrah sedikit terubat apabila Kay Film menerbitkan filem Jasmin arahan Datuk Jamil Sulong. Filem lakonan Noraini Jane dan Datin Rosnani Jamil pada 1984 itu dinilai 'orang lama' ketika itu cuma fiksyen di sebalik konflik Natrah bukan realiti sebenar.

Hingga sekarang saya tertanya-tanya mengapa pada masa itu Jamil selaku pengarah dan Tan Sri Kamarul Ariffin selaku produser Kay Film tidak terus filemkan saja kisah Natrah, bukan Jasmin?

Meningkat dewasa, baru rasa terubat membaca kisah tragis Natrah di Dewan Masyarakat secara bersiri disediakan wartawannya Fatini Yaacob. Penghujung 1980-an saya gemar membaca Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya kerana maklum saja lepas sekolah, aliran sastera terbawa-bawa.

Saya masih ingat ketika itu Dewan Masyarakat yang dipimpin Datuk Johan Jaafar laris gara-gara cerita eksklusif Natrah. Seingat saya, siri Natrah itu dalam lima keluaran, malang pula dek kerana kisah Natrah 'bagai pisang goreng', saya terlepas dua siri kerana edarannya habis.

Generasi era 'moonwalk' dan 'hip hop' kini saya percaya kurang tahu siapa itu Natrah. Tidak seperti Romeo dan Juliet atau Laila dan Majnun yang cuma mengkhayalkan, kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi, suami isteri yang 'dipisahkan', penuh lara hingga mencetuskan pertumpahan darah.

Natrah dikahwinkan dengan Mansor secara nikah gantung ketika berusia 13 tahun pada 1950, sementara Mansor 22 tahun. Ikut undang-undang Syariah, perempuan umur 13 tahun dibenarkan berkahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah, tetapi mengikut undang-undang Belanda, bagi seorang anak berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya, lalu Natrah dan Mansor dipisahkan.

Natrah Maarof (nama Islamnya) atau Bertha Hertogh yang dilahirkan pada 24 Mac 1937 di Bandung, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Huijberhen, Selatan Belanda, pada Rabu (8 Julai) lalu dalam usianya 72 tahun. Berakhirlah riwayat Natrah yang penuh duka dan lara.


Bagi yang pernah menatap gambar ceria persandingan Natrah dan Mansor, apatah lagi melihat gambar pelukan erat Natrah di belakang ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad dari Terengganu ketika melangkah ke mahkamah di Singapura bagai tidak sanggup menghadapi perpisahan, tentu saja berasa sebak.

Bagi orang lama, kisah Natrah tidak jemu diceritakan, pastinya untuk anak cucu beringat-ingat betapa Natrah berjaya dimurtadkan dek pertembungan kuasa Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

-Metro 12 Julai-

Tuesday, July 14, 2009

Emma Sengaja Selak Kain?

100% di'copy' dari Metro :)

Besar harapannya bagi mendengar komen positif pengkritik filem untuk lakonannya sebagai Hermione Granger menerusi filem terbaru, Harry Potter And The Half-Blood Prince sewaktu menghadiri tayangan perdana filem keenam siri itu di London, baru-baru ini.

Keterujaan Emma Watson, 19, ada kaitan dengan gosip yang bertiup kencang kononnya siri berkenaan adalah pembabitan terakhirnya dalam Harry Potter.

Semestinya dia mengharapkan lakonan terakhirnya itu memberi impak apatah lagi lebih setahun yang lalu Emma bersungguh-sungguh memberikan komitmen 110 peratus terhadap pembikinan filem itu.

Malah, dia juga mengharapkan penonton tidak lagi memandang karakter Hermione Granger sebagai kanak-kanak pintar, sebaliknya remaja berkuasa.

Pun begitu, lain yang diharapkan lain pula yang berlaku. Sewaktu menghadiri tayangan perdana filem itu, Emma terpaksa menanggung malu apabila gaun 'vintage' beralun yang diilhamkan dari era 70-an oleh Ossie Clark, terselak dan menampakkan seluar dalamnya.

Kejadian itu berlaku di hadapan ribuan peminat serta ratusan wartawan serta jurugambar.

Insiden itu menjadi isu yang cukup hangat sehingga menarik minat David Letterman mewawancara Emma dalam programnya, Late Show with Letterman.

Seakan dapat menduga soalan bakal ditanya, Emma cuba bersikap tenang dan tidak tertekan dengan apa yang heboh diperkatakan.

"Sekurang-kurangnya saya memakai seluar dalam," Balas Emma kepada wartawan sambil tertawa.

Pada temu bual itu, Emma turut diberi kesempatan oleh pengacara ternama itu untuk memberi penjelasan berhubung insiden yang berlaku bukan saja kepada jutaan penonton setia program itu, tetapi juga peminat di seluruh dunia.

"Saya kesal dan tidak mahu lagi mengulangi kesilapan serupa walaupun ketika itu saya sebenarnya cuba membetulkan baju sebaik keluar dari limosin. Kebetulan ketika itu hujan. Saya tidak perasan gaun saya terselak dan tidak menyangka aksi saya itu dirakamkan."

"Peristiwa itu memang sangat memalukan apatah lagi berlaku di khalayak ramai dan keadaan tidak senonoh itu kemudiannya dipaparkan dalam akhbar."

"Bagaimanapun, saya cuba tidak berasa begitu tertekan kerana sebaik menyedari aksi saya dirakamkan, saya sudah mempersiapkan diri menghadapi laporan media pada keesokan harinya. Cuma apa yang dikesalkan gara-gara insiden itu kehebatan filem Harry Potter And The Half-Blood Prince tidak begitu diperkatakan sebaliknya hal baju saya yang menjadi tajuk utama."


"Saya berasa amat bersalah kepada pengarah, pelakon dan seluruh pihak yang terbabit dalam pembikinan filem itu kerana hasil kerja mereka selama hampir dua tahun menyiapkan filem itu sepatutnya diperkatakan."

"Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Insiden tidak disengajakan terjadi pada diri saya itu pula mengambil alih tumpuan," katanya.

Pelbagai reaksi diberikan sewaktu kejadian itu berlaku dan ada beberapa pengkritik fesyen mengatakan insiden berkenaan mungkin disengajakan pelakon remaja itu.

Ini kerana logiknya, sejak kebelakangan ini Emma sering tampil dengan pakaian mendedahkan bahagian tubuh yang menyerlahkan kegadisannya.

Mereka menganggap melewati usia 19 tahun Emma mempunyai perasaan sama saja sebagaimana kebanyakan remaja perempuan yang lain yang ingin dilihat cantik dan seksi. Dakwaan itu diperkukuhkan lagi apabila Emma dilaporkan sudah bosan menjadi kanak-kanak dan mendambakan watak pelajar kolej yang kehidupan mereka disulami cinta, cita-cita dan konflik.

Barangkali apa yang dinyatakan ada benarnya kerana Emma mula membintangi siri Harry Potter sejak berusia sembilan tahun menerusi Harry Potter And The Philosopher's Stone pada 1999.

Selesai mempromosikan filem Harry Potter And The Half-Blood Prince yang rancak ditayangkan di pawagam sekarang ini, Emma akan menyambung pengajiannya di Universiti Columbia di Amerika Syarikat pada September ini.

"Ia bagaikan impian menjadi kenyataan kerana sejak usia 11 tahun lagi saya sudah menanam impian untuk melanjutkan di universiti itu. Sebaik memasuki kuliah, saya pasti kehidupan saya akan berubah dan sangat teruja melaluinya kerana sejak 10 tahun lalu saya sibuk berlakon dan tidak berpeluang untuk bergaul dengan rakan sebaya."

"Saya harap di universiti nanti saya tidak menjadi tumpuan sebagaimana saya berada di London kerana saya mahu dilayan seperti pelajar lain dan mahu mempunyai kawan yang ikhlas menerima saya sebagai Emma Watson yang sebenar," katanya.

Wajah baru produk Burberry ini turut memaklumkan, dia belum pasti sama ada selepas melangkah ke universiti nanti dia masih berminat untuk berlakon kerana di fikirannya sekarang adalah untuk melengkapkan ijazahnya.

"Mungkin tidak kerana saya perlu mempertimbangkan apa yang saya inginkan sekarang ini. Tetapi tidak mustahil akan kembali berlakon kerana ia adalah minat saya, tetapi mungkin hanya setuju berlakon filem yang menawarkan sesuatu watak berbeza," katanya.



Monday, July 13, 2009

Komen Ajai Aibkan Jay Jay

Ramai anggap tindakan tidak profesional dalam Mentor 3 dorong ramai tidak undi Chaq

Ini pula tentang Ajai yang bakal melansungkan perkahwinannya tidak lama lagi. Metro melaporkan Ajai tidak berpuas hati dengan komen yang diberikan oleh Jay Jay dalam Konsert Separuh Akhir Mentor 3.

Dinyatakan Ajai telah membalas teguran ikhlas yang diberikan Jay Jay kepada protegenya Chaq selepas Chaq menyampaikan lagu Michael Jackson secara medley di konsert separuh akhir Mentor musim ketiga yang berlansung di dewan MBSA Ahad lalu.

Menurut Jay Jay, Chaq tiada masalah dari segi tarian kerana Chaq memang hebat beraksi dengan pelbagai jenis tarian tetapi dari segi vokal apabila dia menyanyikan lagu Michael Jackson, 'key' yang dibawa oleh Chaq terlalu rendah dan sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti persembahannya.

Ajai tidak berpuas hati dengan komen yang diberikan Jay Jay lantas menyampuk dengan: "saya arrange key itu sesuai dengan kemampuan vokal Chaq". Malah tanpa ada rasa sopan dan hormat, Ajai secara selamba memalukan Jay Jay di khalayak ramai dengan mengatakan: "Takkan saya nak pakai baju abang".

Kenyataan Ajai bukan sahaja dilihat seperti ingin memalukan serta menjatuhkan kredibiliti Jay Jay selaku juri pada malam itu, tetapi ianya turut menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penonton yang menganggap Ajai tidak boleh menerima kritikan.

Akibat dari sikap Ajai, ramai yang berpendapat ia akan mempengaruhi keputusan undian Chaq.

Manakala Jay Jay pula tidak mahu berbicara panjang berkaitan perkara ini apabila diminta mengulas dengan lebih lanjut dan lansung tidak mengambil hati dengan kelakuan Ajai pada malam itu.

Jay Jay berkata, "saya lansung tidak terkejut apabila Ajai membalas teguran kerana mengetahui karakter dia sememangnya begitu. Namun tidak sedikit pun saya terasa hati dengan kelakuan Ajai, malah menerimanya dengan sikap terbuka."

"Saya cuma menjalankan tugas yang diamanahkan secara jujur dan berhemah. Teguran saya ikhlas kerana key Chaq ketika menyampaikan lagu Michael Jackson terlalu rendah."

"Saya tidak bermaksud untuk menyuruh Chaq menyanyi seperti idola ramai itu, tetapi keynya janganlah terlalu rendah kerana ia persembahan untuk konsert separuh akhir Mentor 3 yang menentukan siapa berjaya ke peringkat akhir."

"Tambahan pula, sebelum memberi komen, saya memulakan dengan permohonan maaf dan tidak sedikit pun memburuk atau menjatuhkan reputasi Chaq dengan kata-kata yang kurang sopan atau kasar."

"Walaupun dia kawan saya, tetapi dari sudut perjurian saya kena betul dan tidak boleh menipu. Lagipun, ini adalah amanah dan sekiranya saya terpesong menjalankan tugas kerana menjaga hati kawan, apa yang akan saya jawab dengan Allah nanti?"

"Saya tidak mengatakan yang diri bagus sangat. Saya tahu ada kelemahan dalam diri, tetapi cuba melakukan sebaik mungkin. Sebenarnya, agak berat juga saya untuk menerima tugas sebagai juri kerana ada yang tidak berpuas hati dengan komen diberikan," jelasnya.

Menurut Jay Jay, dari sudut pandangannya, tindakan Ajai merendahkan key vokal Chaq ketika menyampaikan lagu Michael Jackson itu sedikit sebanyak mempaparkan kelemahan protegenya itu.

"Cuba lihat prestasi Black ketika menyampaikan lagu Madah Berhelah bersama mentornya, Mas Idayu. Sangat hebat malah tidak sedikit pun ditukarkan key untuk dipadankan dengan kemampuan vokal Black. Kita sendiri tahu nyanyian asal Madah Berhelah adalah Ziana Zain dan bukan senang untuk seorang lelaki menyanyikan lagu perempuan yang memerlukan key tinggi."

"Tetapi Black berjaya melakukannya. Saya tidak bermaksud untuk membuat perbandingan. Cuma, ingin saya katakan sekali lagi bahawa ia adalah satu pertandingan. Justeru, bila pertandingan ia mencabar kreativiti serta kesungguhan peserta itu."

"Jadi, bila dikatakan penyusunan key yang sesuai dengan kemampuan vokal Chaq, maksudnya di sini, ia tidak mencabar kredibiliti protegenya itu untuk pertandingan separuh akhir. Biarpun kelebihan Chaq berupaya menjiwai pentas dari sudut tariannya, tetapi Mentor diwujudkan sebagai platform mencari mereka yang berkebolehan menyanyi dengan baik."

"Apa yang ingin saya sampaikan malam itu, susunan key janganlah terlalu rendah hingga menampakkan kekurangan anak didiknya itu," ujar Jay Jay.

Bagaimanapun, Jay Jay menganggap perhubungannya dengan Ajai berjalan seperti biasa dan tidak tergugat dengan insiden itu dan dia mengakui dia tidak menyimpan dendam atau berkecil hati dengan tindakan Ajai. Apabila ditanya adakah dia serik untuk menjadi juri selepas ini, Jay Jay berkata dia akan berfikir sepuluh kali ganda untuk menerima sesuatu tawaran itu.

Metro 11 Julai 2009

Godam Laman Web Kerana Tak Siap Kerja

Seoul:

Polis Korea Selatan semalam menahan seorang penggodam kerana melancarkan serangan siber yang serupa dengan serangan yang melumpuhkan laman web domestik dan Amerika Syarikat.

Lelaki berusia 39 tahun itu yang dikenali sebagai Choi dituduh melumpuhkan laman web Lembaga Rating Perjudian dengan menggunakan cara pengedaran penafian perkhidmatan (DDos).

Choi, ejen bagi pembangunan perisian yang berusaha mendapatkan kelulusan Lembaga untuk projek baru. Kerana gagal menyiapkan tugas pada masa yang ditetapkan, dia melumpuhkan laman web itu.-AP, Metro 11 Julai.

Hai.. Kelakar! Kelakar! Macam2 jenis manusia kat dunia ni..Hehehehe

Sunday, July 12, 2009

Kematian Jacko Ada Unsur Jenayah

Penyiasat mahu semua rekod perubatan MJ diserah

Di Los Angeles, siasatan terhadap kematian MJ semakin dipertingkatkan dengan penyiasat mengeluarkan sapina untuk mendapatkan semua rekod perubatannya. Manakala seorang pegawai kanan polis enggan menolak kemungkinannya disebabkan jenayah.

Menurut akhbar Los Angeles Times, penyiasat meminta semua rekod perubatan yang disimpan oleh beberapa orang doktor MJ termasuk rekod radiologi dan psikiatrik. Ianya merupakan sebahagian daripada siasatan kematian MJ pada 25 Jun lalu iaitu pada usia 50tahun.

Dalam temuramah dengan CNN, Ketua Polis Los Angeles, Bill Bratton berkata, pihaknya turut mengkaji sejarah preskripsi ubat dan doktor yang berurusan dengan MJ sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Manakala bapa MJ, Joe Jackson, 79 memberitahu stesen televisyen ABC bahawa dia masih ragu dengan keadaan yang menyebabkan kematian anaknya dan dia percaya terdapat unsur jenayah dalam kes kematian MJ bukannya disebabkan serangan sakit jantung.

Penyiasat pada masa ini memberi tumpuan terhadap ubat berbahaya, Diprivan yang ditemui di rumah sewa MJ selepas kematiannya. Menurut penyiasat, ubat terbabit biasanya digunakan untuk melenakan pesakit sebelum menjalani pembedahan.

Sementara itu, misteri mengenai tempat persemadian MJ semakin hangat menjelang satu lagi upacara memperingatinya yang akan dihadiri oleh anggota keluarganya di kampung asal mereka di Gary, Indiana.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada mayatnya sudah dikebumikan atau belum.

Friday, July 10, 2009

Empat Bentuk Kejadian Manusia

Susunan Hashim Ahmad

Manusia ialah salah satu makhluk ciptaan Allah untuk menghuni alam yang fana ini. Selain menjadi khalifah di bumi ini, Allah menciptakan manusia supaya mereka tunduk dan sujud menyembah-Nya. Keadaan ini jelas dinyatakan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: 'Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku'. -Surah az-Zarriyat: 56

Manusia diminta bersujud dan beribadat menyembah Allah kerana Dialah Yang Maha Berkuasa menjadikan kita. Manusia pertama yang dijadikan Allah di muka bumi ini ialah Nabi Adam a.s.

Allah menciptakan Adam daripada tanah. Kemudian Allah menghembuskan roh kepadanya sehingga Adam menjadi hidup.

Adam menggerakkan kedua-dua tangan dan kakinya lalu dia bersin (batuk) bergerak sekujur badannya, terbuka kedua-dua matanya, bergerak jantung dan paru-parunya.

Daripada gambaran di atas jelas kepada kita bentuk pertama kejadian manusia ialah tanpa ibu dan bapa. Tuhan mencipta Adam dengan tanah dengan tangan-Nya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Nabi Adam a.s pada mulanya ditempatkan di syurga. Makanan dan minuman tersedia cukup. Semua yang diperlukan akan sedia ada. Dalam pada itu Nabi Adam tinggal di syurga seorang diri- sebatang kara.

Walaupun tempat tinggalnya selesa dan nyaman dengan makanan dan minuman yang lazat-lazat, namun semua itu tidak memberi kepuasan yang sempurna kepada Nabi Adam a.s. Manusia perlukan teman tempat ia mengadu dan mengemukakan suka dan dukanya atau kasih dan sayangnya.

Teman inilah yang tidak dipunyai oleh Nabi Adam a.s. Sebab itu hidupnya selalu dalam kesepian. Allah tahu keadaan dan kesepian yang dialami oleh Nabi Adam. Oleh kerana itulah Allah telah menciptakan makhluk baru yang sama dengan Adam tetapi daripada jenis wanita- Hawa. Tujuan utama Hawa diciptakan adalah untuk meramaikan permukaan bumi.

Hawa dicipta Allah tanpa disedari oleh Nabi Adam a.s. Apabila Adam berasa mengantuk dan tertidur, dewasa itulah Allah menciptakan Hawa- Bentuk kedua ciptaan makhluk manusia. Apabila Adam terbangun dan membuka kedua-dua belah matanya, dia melihat seorang wanita berdiri di sampingnya.

Adam dan Hawa diciptakan tanpa mempunyai ibu dan bapa. Dalam pada itu bentuk kejadian manusia yang ketiga ialah melalui ibu tapi tanpa ayah. Ini terjadi kepada Nabi Isa a.s yang dilahirkan oleh ibunya Mariam- seorang perempuan suci yang dinazar akan diserahkan oleh ibu dan bapanya untuk Rumah Suci Baitul Maqdis sebagai abdi dan pengawal tempat suci itu.

Berita mengenai ketibaan Isa a.s terjadi pada suatu hari ketika Mariam sedang beribadah mengabdikan diri kepada Allah seperti kebiasaan yang dilakukannya, tiba-tiba berdiri seorang lelaki di hadapannya. Alangkah terkejut dan terperanjatnya Mariam kerana selama dia berada di biliknya, tidak pernah seorang manusia pun masuk dan menghampirinya.

Mariam kelihatan mahu berpaling dan menghindarkan diri kerana pada sangkaannya lelaki itu ialah seorang yang jahat yang bercita-cita buruk terhadap dirinya sedang ia seorang wanita yang suci dan beriman. Mariam memohon daripada Allah agar dijauhkan dirinya daripada sebarang kejahatan.

Orang yang tidak dikenali oleh Mariam itu akhirnya memberi isyarat kepada Mariam supaya bertenang dan tidak takut serta tidak khuatir terhadapnya. Akhirnya orang itu berkata dia utusan Allah yang ditugas memberitahu Mariam yang dia akan mendapat seorang anak yang suci.

Mariam menerima berita itu dengan hati yang sedih dan penuh haru dan khuatir. Mulut dan lidahnya terasa terkunci. Dalam pada itu dicubanya untuk berkata yang antara lainnya berbunyi: 'Bagaimana saya akan memperolehi seorang anak sedang seorang manusia pun tidak pernah menyentuh tubuh saya dan saya pula bukanlah seorang yang jahat.'- Surah Maryam: Ayat 20.

Mendengar jawapan Mariam itu, malaikat Ruhul Quddus lantas menyatakan Allah telah berfirman yang antara lain bermaksud: 'Perkara itu amat mudah bagi-Ku supaya Kujadikan itu satu tanda kekuasaan untuk manusia dengan rahmat-Ku.'

Sejurus kemudian malaikat itu pun lenyap daripada pandangan Mariam- tidak diketahui arah perginya. Tinggallah Mariam seorang diri dalam kehairanan. Kini dia mulai khuatir kerana sudah pasti orang akan menjadi ribut dan riuh apabila mendengar yang dia telah hamil dan akan melahirkan anak tanpa mempunyai suami. Beberapa bulan kemudian, Mariam pun melahirkan Nabi Isa a.s.

Meneliti kejadian dan peristiwa kelahiran Nabi Isa a.s ini, nyata sekali ia satu perkara yang ganjil dan luar biasa. Sekali imbas ia tidak dapat diterima akal. Pelbagai tuduhan dan kata-kata fitnah telah dilemparkan kepadanya. Dalam pada itu semua itu diterimanya dengan sabar dan tenang sesuai dengan firman yang diwahyukan Allah kepadanya.

Bentuk kejadian manusia yang keempat sudah lumrah dan umum mengetahuinya. Bentuk ini terjadi apabila berlakunya proses persetubuhan baik secara halal atau secara haram antara lelaki dengan perempuan. Pertemuan air mani persetubuhan itu akan mengakibatkan seseorang perempuan itu mengandung.

Semasa dalam kandungan perempuan itulah air mani yang dikatakan lebih halus daripada hujung rambut, pada masa 40 hari diolah menjadi segumpal darah. Sesudah 40 hari pula, darah itu berubah menjadi segumpal daging dan daging itu selepas 40 hari pula menjadi kerangka tulang belulang, urat saraf, jantung, paru-paru, hati dan sebagainya.

Kemudian Allah menghembuskan roh sehingga manusia yang dikandung ibu itu bergerak ke kiri dan ke kanan. Selepas sembilan bulan, manusia ini lahir ke dunia berbentuk seorang bayi yang sempurna. Semua ini terjadi dengan kudrat dan iradat Allah semata-mata. Ia bukannya terjadi kerana kepandaian doktor atau para ahli yang lain.

Meneliti dan merenung secara mendalam terhadap bentuk-bentuk kejadian manusia ini akan membawa kita sedar dan insaf mengenai betapa besar dan bijaksananya Allah. Adam dijadikan daripada tanah yang kering tanpa ibu dan bapa. Hawa pula terjadi selepas Adam dicipta Allah. Nabi Isa a.s dilahirkan tanpa bapa dan kita semua dilahirkan melalui ibu dan bapa.

Sesungguhnya semua empat bentuk kejadian manusia ini adalah amat mudah bagi Allah. Ini jelas dari firman-Nya yang bermaksud: 'Hanya urusan (perintah) Allah itu bila Ia menghendaki mengadakan sesuatu Ia berkata: Jadilah engkau, lalu terjadilah ia.' - Surah Yasin: Ayat 82.

-Pesona Jun 2007-

Wednesday, July 8, 2009

Murray Bernilai RM584j

Pemain nombor satu Britain raih banyak wang hasil kejayaan di arena tenis

Andy Murray boleh menjadi satu jenama global bernilai RM584 juta jika dia dapat memenuhi potensinya di atas gelanggang tenis, menurut pakar jenama.

Pemain tenis itu boleh meraih banyak wang menerusi kemenangan pada kejohanan dan kontrak tajaan ketika profilnya kini semakin meningkat.

Murray memenangi RM7.6juta hasil hadiah kemenangan setakat tahun ini, menurut Jelajah Pemain Tenis Profesional (ATP), manakala perjanjian menerusi tajaan difahamkan bernilai sekitar RM29 juta.

Bagaimanapun, ikatan kontraknya dengan syarikat 19 Entertainment milik Simon Fuller awal tahun ini dan kemenangan terbarunya pada Kejohanan AEGON di Queens dilihat mampu melonjakkan pendapatannya. Syarikat 19 Entertainment turut menjaga kepentingan perniagaan bintang bola sepak England, David Beckham.

Ketika ini, Murray menandatangani kontrak tajaan dengan Royal Bank of Scotland, Highland Spring, Head dan Fred Perry. Jika dia menang pada kejohanan Wimbledon pada kali ini, pastinya lebih banyak kontrak tajaan berprofil tinggi mampu menjadi miliknya. Seorang sumber di 19 Entertainment berkata: "Cita-citanya adalah untuk pergi ke global. Potensinya amat besar."

Paul Townsin, rakan kongsi perniagaan di Venturethree, seorang perunding jenama, berkata Tim Henman memiliki kontrak tajaan sekitar RM117 juta walaupun bukan pemain pilihan utama.

"Sebaliknya Andy Murray kini menduduki ranking ketiga dunia. Beberapa peramal menjangkakan nilai bersihnya mampu melonjak hingga RM468 juta dalam tahun mendatang," katanya.

Tim Hill, pengarah pemasaran di FutureBrand, berkata mengikat kontrak dengan jenama "paling unggul Inggeris" seperti Fred Perry adalah "amat bijak".

Sementara itu, Murray menyanjung teman wanitanya, Kim Sears yang banyak membantu kejayaannya setakat ini.

Mengubah pemain remaja itu kepada berpotensi menjadi juara Wimbledon, Kim yang berusia 21 tahun dianggap sebagai elemen penting dalam kehidupan Murray dan kedua-duanya sudah bersama selama empat tahun.

Kim akan menamatkan pengajian bertaraf ijazah dalam Kesusasteraan Inggeris di Universiti Sussex dan bercita-cita meneruskan karier dalam bidang penerbitan.

"Apabila kami bersama, kami sering ada sesuatu yang hendak dibicarakan dan hubungan ini semakin segar," kata Murray.

"Dia tidak mahu mengikut saya ke mana saja saya bertanding. Dia mahu mempunyai karier sendiri, bukan sekadar bergambar dengan majalah Hello!.

Pasangan itu baru saja berpindah ke rumah agam baru bernilai RM32 juta di Surrey.

Bagaimanapun, di sebalik status dan kekayaan yang meningkat, mereka menjauhkan diri daripada kehidupan gaya selebriti dan lebih suka dengan malam yang sunyi tanpa menjejaki permaidani merah.

"Saya bertuah. Saya tahu Kim bukan bersama saya kerana saya menjadi tumpuan. Ketika kami bertemu, saya sedang beraksi pada pusingan kelayakan," kata Murray.

"Dia turut memahami kehidupan sebenar seorang pemain tenis kerana bapanya (jurulatih tenis terkenal, Nigel Sears) terbabit secara lansung dengan sukan ini.

-Metro 26 Jun 2009-

Tuesday, July 7, 2009

Minum Darah Babi Untuk Cantik

Akibat Ikutkan Kata Hati

Ini pula cerita Tini seorang 'mak nyah' yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi mempunyai naluri kewanitaan yang sehingga menyebabkan dia dicemuh oleh masyarakat kampungnya dan telah berhijrah ke Kuala Lumpur selepas tamat tingkatan lima. Pada mulanya dia cuba bertahan namun sebaik dia melangkah ke tingkatan dua, nalurinya semakin menjadi-jadi untuk menjadi seorang perempuan sehingga dia tidak mampu bertahan lagi.

Keluarga Tini merasa malu dengan dirinya dan oleh kerana dia tidak mahu keluarganya tertekan disebabkan dirinya, Tini memberi alasan untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur dan dia menumpang di rumah kawannya yang juga kaum sejenis dengannya dan dia bekerja di salun. Di KL, Tini diajar bagaimana menjadi wanita tulen oleh kawan-kawannya yang lebih berpengalaman dan mereka memperkenalkannya dengan teman-teman lelaki mereka dan dia telah jatuh cinta dengan seorang lelaki bernama Zeck. Tini telah menyerahkan segala-galanya pada Zeck namun hubungan mereka tidak bertahan lama dan Zeck telah meninggalkannya dan Tini betul-betul merasa kecewa dengan Zeck.

Dia merasakan hidupnya kosong dan tidak bererti. Bermula dari hari itu, Tini tidak lagi mempercayai lelaki dan dia mengenakan bayaran kepada lelaki-lelaki yang menghampirinya. Dia melakukannya kerana dendam dan wang. Lama-kelamaan, Tini semakin seronok dengan hidupnya dan dia mula hanyut jauh dan dia terus mencari wang dengan menggadai tubuhnya. Namun, persaingan sangat sengit dan untuk mendapatkan 'ikan-ikan besar' dia terpaksa bekerja keras.

Pada mulanya Tini melakukan pembedahan plastik, namun ramai juga pelanggan yang menolaknya walaupun rupanya telah cantik dan dia menggunakan cara halus untuk memikat pelanggannya. Tini menggunakan susuk pelaris, mandi bunga dan pelbagai lagi dan semua itu hanya bertahan sementara sahaja.

Akhirnya, rakannya Ann mencadangkan mereka ke Siam dan Tini bersetuju. Setelah cukup wang yang dikumpulkan, Tini dan Ann pergi ke Siam dan mereka telah diseludup masuk secara haram ke negara tersebut dan mereka dibawa ke sebuah tokong.


Sesampainya di tokong, seorang sami berpakaian serba kuning menunggu mereka dan upacara dijalankan. Sami tersebut mengeluarkan dua helai kain berwarna kuning dan mereka memakai kain tersebut. Selepas itu sami tersebut membakar colok dan mengasapkan ke muka mereka.

Selepas kerja-kerja mengasap kemenyan habis, sami tersebut mencecahkan jarinya ke dalam piring yang berisi debu. Dia membaca mentera dan menekakan habuk itu ke dahi Tini dan Ann. Kesemua habuk tersebut masuk ke dalam kulit.

Kemudian dia mencapai gelas berwarna kuning yang diperbuat dari tembaga, menghembus mentera yang dibaca ke dalam gelas tersebut dan memusingkan gelas tersebut di atas kepala Tini beberapa kali dan kemudian menyuruhnya minum.

Air tersebut tidak banyak tetapi rasanya payau dan berwarna merah. Dia membakar colok dan meminta mereka duduk bersila menghadap tokong. Selepas sami tersebut membaca beberapa mentera, mereka terasa pening.

Selepas dua tiga hari melakukan upacara tersebut, mereka merasa tidak sihat tetapi keajaiban berlaku apabila mereka mendapat banyak pelanggan sehingga tidak terlayan. Namun mereka terasa sesuatu yang aneh apabila mereka tidak dapat membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang dulunya mereka hafal dan begitu juga dengan mengucap dua kalimah syahadah. Segala-galanya hilang dan mereka ketakutan dan mencari ustaz untuk meminta pertolongan.

Mereka menceritakan segala-galanya kepada ustaz tersebut dan ustaz tersebut membacakan ayat Qurdsi ke dalam air zam-zam dan mereka muntahkan semula air yang diminum di tokong apabila meminum air yang diberi oleh ustaz terbabit. Rupa-rupanya air yang diberikan oleh sami di tokong tersebut adalah darah babi dan mereka menangis apabila boleh mengucap semula.

Sejak hari itu, Tini terus meninggalkan kerja-kerja yang dilakukannya selama lima tahun dan dia telah insaf walaupun dia masih lagi seorang mak nyah.

-Sumber; Popular Misteri April 2008-