Tuesday, June 30, 2009

Arapaima Gigas

Ikan Gergasi Sebesar Bot

Ikan gergasi? Ikan naga? Ramai yang tidak mengenalinya tetapi ianya menjadi bualan semenjak kematian pekerja projek Taman Burung dan anggota Bomba baru-baru ini.

Sebenarnya ikan tersebut adalah ikan Arapaima Gigas dan orang menggelarkannya ikan naga kerana saiznya yang besar dan kulitnya yang bersaiz besar seperti naga. Ikan tersebut telah disyaki membunuh dan menyerang kedua-dua mangsa tetapi menurut 'orang lama' di sini yang sudah 20 tahun mencari rezeki di tasik seluas 2,600kilometer ini, iaitu Mohd Bidin dari Kampung Langgar berkata ikan tersebut tidak makan orang dan beliau pernah berjumpa sendiri dengan ikan yang bersaiz kira-kira tiga meter tersebut.

Pada tahun lalu, beliau pernah diekori oleh seekor ikan yang bersaiz sama panjang dengan bot gentian kaca yang dinaikinya tetapi ikan tersebut tidak menyerang beliau dan sama juga dengan nelayan-nelayan di situ, tidak pernah ada yang meninggal dunia gara-gara diserang oleh ikan terbabit dan beliau menyatakan bahawa ikan itu tidak membahayakan manusia walaupun saiznya besar.

Ikan tersebut yang berasal dari Brazil yang kini menjadi ikan naga di Tasik Kenyir mulanya dikatakan milik seorang lelaki Cina yang mengusahakan chalet yang berhampiran dengan Tasik Kenyir dan disebabkan ia cepat membesar, lelaki berkenaan melepaskannya di sebuah sangkar yang dibina berhampiran chalet di Sungai Petuang.

Malangnya empat ekor ikan tersebut terlepas keluar dan seekor mati. Ikan tersebut dipercayai boleh membawa tuah dan ianya hanya makan anak ikan dan tidak menyerang dan mengancam manusia.

Kasihan betul ikan Arapima ni, disebabkan saiznya tak pasal-pasal disyaki membunuh orang...

Sumber: Metro 28 Jun

Sunday, June 28, 2009

Ucapan Obama Mendapat Pujian


Ada yang berkata, Tiada dasar baru dikemukakan President AS itu


Ini pula cerita mengenai pandangan Pemimpin-pemimpin Islam terhadap Obama. Ada yang memuji misi President Amerika Syarikat tersebut untuk memulihkan imej negaranya yang tercalar di kalangan dunia Islam dan ada yang masih meragui dengan ketelusannya itu. Ini bermakna Obama terpaksa bekerja keras dalam merealisasikan misinya.


Dalam ucapannya, Obama berkata dia berharap memulakan hubungan baru dengan negara Islam berdasarkan perasaan hormat dan ini menarik perhatian ramai pemimpin Islam yang hadir di Universiti Kaherah pada hari tersebut. Namun ada yang menegaskan, tiada dasar baru diketengahkan, terutama isu membabitkan konflik Palestin dengan Israel yang menjadi simbol ketidakadilan bagi umat Islam seluruh dunia.


Pengarang Diplomatik Akhbar Mesir, Al Ahram Hebdo, Randa Achmawi berkata "Buat pertama kali AS melaksanakan pendekatan bijak dengan mengakui kepentingan pihak terbabit." Manakala Penganalisis Politik Arab Saudi, Khalid al-Dakhil pula menganggap ucapan Obama adalah untuk kembali berbaik dan memulakan hubungan baru dengan dunia Arab.


Namun berbeza pula pandangan ahli politik Hizbollah, Hassan Fadlallah. Beliau menegaskan bahawa dunia Islam tidak memerlukan khutbah mengenai politik ataupun akhlak dan yang penting adalah perubahan dasar AS bermula dengan memberhentikan sokongan membuta-tuli terhadap keganasan Israel di rantau itu, terutama ke atas Lubnan dan Palestin. AS juga perlu berundur dari Iraq dan Afghanistan dan berhenti mencampuri urusan dalam negara Islam, katanya. Itulah yang sewajar-wajarnya dilakukan oleh Obama bagi pandangan saya. Beliau sebagai seorang yang beragama Islam seharusnya membela nasib umat Islam yang telah lama dianiayai dan dibuli oleh puak Israel dan juga Amerika sendiri. Biarlah pemimpin Islam yang memimpin negara mereka sendiri tanpa campur tangan orang luar.


Sumber: Metro 5 Jun 2009





Padah Melaram

Disamun Ketika Menoreh


Ini pula cerita di Seremban di mana seorang 'makcik' berusia 42 tahun telah disamun sekumpulan lelaki di sebuah ladang getah di Sendayan ketika wanita tersebut sedang menoreh. Tiga lelaki tersebut melarikan barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai. Saya terfikir, kenapa lah 'makcik' ni pergi menoreh dengan memakai gelang tangan, rantai dan anting-anting selain membawa telefon bimbit serta sejumlah wang tunai?


Tindakannya itu telah menarik perhatian penjenayah dan kira-kira pukul 10pagi, wanita itu telah didatangi oleh tiga orang lelaki dengan menggunakan dua motosikal lalu menendang dan menampar mangsa dan melarikan wang tunai, barang kemas, serta telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM5,000 lalu mereka meninggalkannya dalam kesakitan.

Sumber: Metro 26 Jun 2009

Saturday, June 27, 2009

Datuk Segala Setan

Ajak Tiga Rakan Perkosa Cucu Berumur 5 Tahun Selama Tiga Minggu

Ini lagi cerita orang yang takde akal...Rasanya gelaran 'Datuk Segala Setan' memang sesuai bagi lelaki warga emas yang tidak sedar diri dan lupa dia akan mengadap tuhan tidak lama lagi. Di usia 66 tahun lelaki tersebut tergamak memperkosa cucunya yang baru berusia lima tahun dan tak cukup dengan itu, dipelawa pula rakan-rakan seangkatan dengannya memperkosa cucunya dan kegiatan mereka itu berlanjutan sehingga tiga minggu sebelum terbongkar apabila seorang jiran menyedari perubahan fizikal dan mental kanak-kanak terbabit iaitu mangsa perbuatan kejam datuknya sendiri.
Pada mulanya, kanak-kanak terbabit tidak mahu bercerita tentang perkara tersebut tetapi setelah dipujuk oleh jirannya, akhirnya dia memberitahu bahawa dia merasa sakit pada bahagian kemaluannya dan jiran tersebut memujuknya membenarkannya melihat kemaluan mangsa untuk dirawat. Jiran tersebut terkejut apabila mendapati kemaluan mangsa terdapat kesan luka teruk dan jiran tersebut mengesyaki ianya adalah angkara datuk kanak-kanak terbabit dan terus memaklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Selepas berbincang, JKKK membuat laporan di Balai Polis Langkap pada 28 Mei lalu. Datuk kanak-kanak terbabit kemudiannya ditangkap untuk siasatan dan dua lagi rakannya ditangkap selepas itu masing-masing berumur 42 dan 29 tahun. Dipercayai lelaki yang berumur 29 tahun itu adalah anak angkat datuk mangsa. Manakala seorang lagi suspek dipercayai berusia lingkungan 40-an dipercayai menghilangkan diri selepas penahanan datuk mangsa dan dua rakannya dan suspek ini masih diburu polis. Dua daripada suspek yang ditahan itu dipercayai adalah penagih dadah.
Kanak-kanak malang terbabit telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan dan laporan mendapati terdapat kesan koyak di kemaluan mangsa akibat dirogol. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan. Berapa tahun la agaknya datuk berhati binatang tu dipenjarakan ye? Pada pandangan saya, walaupun dia dijatuhi hukuman penjara selama 100 tahun dan 100 sebatan sekalipun, tetap tidak dapat mengubat keperitan yang telah dilalui mangsa dan masa depan mangsa tetap terjejas walaupun datuknya disebat sehingga mati!
Hai... Dunia! Dunia! Dah nak kiamat agaknya...
Sumber: -Metro 5 Jun-

President Zambia Dikencing Monyet


Kelakar! Kelakar!

Di Lusaka, President Zambia, Rupiah Banda telah dikencing oleh monyet ketika bercakap kepada wartawan pada satu sidang akhbar di luar pejabatnya semalam. Banda menjerit perlahan: "kamu kencing pada jaket saya", sambil melihat haiwan itu bermain di pokok di atas tempat dia duduk. "Mungkin ini satu rahmat" katanya, disambut gelak tawa wartawan dan diplomat yang hadir pada majlis berkenaan.


Beberapa ekor monyet dan haiwan lain, termasuk beberapa spesies kijang dan burung hidup di sekitar kediaman dan pejabat pemimpin Zambia itu.-Metro 26 Jun-


Bagus betul pemimpin Zambia ni ye.. Penyayang:)

Thursday, June 25, 2009

Mangsa Kedua Positif H1N1

Pesakit lelaki itu adalah kontak terdekat kepada pelajar Universiti Chicago yang pulang bercuti, Isnin lalu


Bercakap tentang influenza A atau lebih dikenali sebagai H1N1 betul-betul menakutkan saya, apatah lagi kes jangkitan kedua tempatan telah dikesan di Kuala Lumpur apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 22tahun disahkan positif. Lelaki itu merupakan kes ke-37 daripada 42 kes yang dicatat setakat ini di Malaysia. Lelaki ini adalah kontak terdekat kepada pesakit kes ke-28 iaitu pelajar Malaysia berumur 20tahun menuntut di Universiti Chicago yang pulang bercuti, isnin lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan semalam berkata lelaki itu tiada sejarah perjalanan ke luar negara. Beliau berkata, setelah mengetahui dirinya menjadi kontak kepada pesakit kes ke-28, lelaki tersebut pergi ke Hospital Sungai Buloh dan terus dimasukkan ke wad pada jam tiga petang kelmarin.-Metro 21 Jun-
"Siasatan mendapati beliau demam, sakit badan dan sakit kepala pada pagi 18 Jun. Beliau disahkan positif pada 19 Jun 2009 dan adalah jangkitan tempatan" katanya.
Penularan wabak itu di peringkat tempatan yang pertama dikesan pada pesakit yang ke-19, yang disahkan positif pada 15 Jun lalu. Pesakit berkenaan, seorang pelajar perempuan 17 tahun, dijangkiti daripada pesakit ke-12 akibat kegagalan kuarantin apabila tidak dimaklumkan pernah berhubung dengan pelajar perubatan kes terdahulu. Kes kedua jangkitan tempatan itu adalah antara tujuh kes H1N1 baru yang dikesan di Malaysia dalam tempoh 24jam lalu. Semua kes itu membabitkan warga tempatan. Enam kes yang dikesan adalah kes import, iaitu lima kes baru kembali dari Melbourne dan satu lagi kes baru kembali dari London.-Metro-
Dr Mohd Ismail berkata, buat masa ini 30 daripada 42 kes yang disahkan positif H1N1 masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (12), Hospital Kuala Lumpur (8), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (2), Hospital Pulau Pinang (2), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah (1), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (1), dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (1). -Metro-
Semua diberi rawatan antivirus dan dalam keadaan stabil katanya. Beliau berkata, dalam tempoh 24 jam lalu 75 notifikasi kes yang menunjukkan gejala jangkitan influenza diterima dari seluruh negara dan dimasukkan ke wad isolasi. Sehingga jam 9 malam kelmarin, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki jangkita H1N1 adalah sebanyak 1167 kes, di mana 42 kes disahkan positif influenza, 1097 disahkan negatif dan 28 masih menunggu keputusan. Seramai 44 orang bagi kontak kes ke-14

Obama Kecil

Pengukir Britain Mengukir Keluarga Presiden AS Di Hujung Lubang Pin.

Saya betul-betul tertarik dengan hasil kerja seorang pengukir dari Britain, Willard Wigan di mana beliau telah berjaya mengukir patung keluarga Obama pada lubang jarum emas 24karat. Wigan di Los Angeles, ketika bersiap untuk melancarkan pameran pertamanya di Amerika berkata, hasil karyanya yang paling diminatinya adalah President Obama dan keluarganya. Beliau juga berkata, dia tidak pernah menyangka akan melihat president kulit hitam Amerika dan beliau mahu meraikannya kerana pemilihannya adalah satu sejarah.
Apa yang menariknya adalah, hasil kerja pengukir mikro itu terlalu kecil sehingga memerlukan mikroskop untuk melihatnya. Anehnya, Wigan menghasilkan karyanya dengan menggunakan tangan. "Betul-betul menakjubkan, bukan? "
Bercakap tentang penghasilan karyanya, Wigan terpaksa menempatkan dirinya dalam keadaan bertafakur untuk memperlahankan degupan jantungnya supaya dapat mengurangkan gegaran tangan dan ukirannya dilakukan antara degupan nadi. Itulah yang dikatakan oleh Metro Ahad.
Sebelum ini beliau pernah menghasilkan ukiran mikro selebriti seperti Brad Pitt dan Angelina Jolie, P Daddy, Charlie Chaplin, dan Marilyn Monroe. Namun ukiran Obama yang paling membanggakannya kerana mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan dan ianya khusus untuk pamerannya di Amerika.
Wigan membawa bersamanya 20 hasil ukiran, termasuk Ben Hur dan kereta kudanya yang diukir pada kepala pin dan Nelson Mandela pada lubang jarum untuk pamerannya di Amerika. Hasil kerjanya pernah disifatkan sebagai 'Keajaiban Kelapan Dunia' dan beliau mula mengukir ketika berusia lima tahun, termasuk membina rumah untuk semut. Wow! lima tahun? Betul-betul bijak Mr Wigan ni... Saya baru pandai membaca dan masih leka bermain lagi semasa berumur lima tahun... Huhuhu!
Antara selebriti yang pernah menjadi pelanggannya ialah Mike Tyson. Tahun lalu dia menjual 72 ukirannya kepada jutawan gimnasium, David Lloyd dengan harga RM68 juta. Wow! Banyak tu...

Kedai Syahwat

Lepas Nafsu Siang Hari
Petaling Jaya...Masalah pelacuran dan maksiat kian meruncing di negara kita. Itu yang dapat saya katakan pada kali ini. Para pengusaha rumah-rumah pelacuran semakin bijak mengatur strategi bagi menarik lebih ramai pengunjungnya. Ini terbukti apabila seorang dari pengunjung tetap kedai syahwat terbabit memberitahu kepada wartawan Metro bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga kedai syahwat di sekitar bandaraya ini. Kedai syahwat ini bukanlah pusat hiburan, rumah urut atau spa. Ianya menyediakan khidmat seks dan dibuka seawal jam 12 tengahari sehingga jam 8 malam.
Ini memberi peluang kepada lelaki hidung belang untuk mendapatkan khidmat seks ketika waktu makan tengahari atau selepas pulang dari pejabat sekitar pukul lima atau enam petang. Pekerja seks yang ditempatkan di sini pula ada yang berumur 19tahun dan 24tahun dan datangnya dari Indonesia. Ketika remaja lain yang seusia dengan mereka sibuk belajar di IPT untuk mengejar cita-cita dan masa depan mereka, pekerja seks ini pula sibuk mengejar pelanggan bagi mendapatkan komisen dan tips. Gejala ini betul-betul membimbangkan dan saya fikir pihak yang bertanggungjawab seharusnya menjalankan kerja-kerja 'pembersihan' secara terperinci dan besar-besaran sehingga ke akar umbi bagi membasmi gejala yang tidak bermoral ini.
Menurut Mahadi, 33 tahun iaitu pelanggan tetap kedai syahwat ini, bukan semua orang boleh masuk ke dalam kedai syahwat terbabit. Hanya wajah orang yang dikenali sahaja yang dibenarkan masuk. Kedai tersebut siap dilengkapi CCTV dan apabila orang yang dikenali datang, pintu akan terbuka secara automatik. Di dalamnya ada bar, mesin judi, sofa, dan meja. Jika berkunjung ke situ, lelaki-lelaki hidung belang ini hanya perlu memesan minuman sahaja dan perempuan-perempuan pekerja seks yang berpakaian seksi akan datang untuk melayan mereka. Pelayannya bukanlah seperti GRO kerana mereka seboleh-bolehnya ingin mengadakan hubungan seks dengan pelanggannya kerana mereka akan diberi komisen oleh 'ibu ayam' dan juga tips dari pelanggan untuk aktiviti seks yang mereka lakukan.
Menurut wartawan, kedai tersebut dibahagikan kepada tiga ruang utama iaitu ruang tengah, kiri, dan kanan. Ruang tengah menempatkan bar dan beberapa mesin judi dengan lampu suram, manakala ruang kiri adalah tempat untuk pelayan wanita melayan pelanggan sebelum dibawa ke ruang kanan untuk mengadakan hubungan seks. Ruang kiri dan kanan disediakan tanpa lampu dan memerlukan lampu suluh untuk ke ruang berkenaan.
Mahadi memberitahu kepada wartawan Metro, dengan menggunakan sofa yang tempat sandarnya tinggi, di situlah hubungan seks dilakukan dan pelanggan lain tidak nampak apa yang dilakukan kerana tempat tersebut gelap. Ruang itu boleh memuatkan empat pasangan pada satu-satu masa dan jika penuh, pelanggan perlu menunggu giliran mereka.
Itulah yang dikatakan nafsu, sanggup menunggu giliran! Agaknya, tempat yang dinamakan Kedai Syahwat ini mendapat perhatian para pelanggannya kerana mereka tidak perlu menunggu hari malam untuk melepaskan nafsu masing-masing. Nasihat saya kepada mereka-mereka yang terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral ini, beringat-ingatlah selalu...
Sumber; Metro Ahad, 21 Jun (page 13)

Wednesday, June 24, 2009

Bayi Lahir Tanpa Kemaluan


Kekalkan Sebagai Lelaki

Metro Ahad 21 Jun (page6)..

Susulan kes bayi lahir tanpa kemaluan, Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya meminta pasangan suami isteri yang menetap di Kampung Batu Lima, Kuala Perlis iaitu kedua ibu bapa kepada bayi berkenaan, Muhammad Nabil Mustaqim Rodzake supaya mengekalkannya sebagai lelaki memandangkan bayi terbabit mempunyai sifat kelakian dan ujian perubatan menunjukkan kromosom lelakinya melebihi wanita. Ibu bapa bayi terbabit juga dinasihati supaya memberi tumpuan dalam membentuknya sebagai lelaki dan tidak perlu menjalani pembedahan menukar jantina untuk menjadi perempuan.



Walaupun kes ini dianggap kompleks, pengesahan awal sudah memadai kerana ujian DNA menunjukkan kromosom kelakian Nabil melebihi perempuan dan difahamkan ujian DNA tidak akan berubah. Dr. Juanda telah mengambil masa kira-kira setengah jam untuk meneliti anggota badan Nabil.


Kes yang dihadapi Nabil tidak sama dengan golongan khunsa yang mempunyai dua alat kelamin dan sifat jantina diketahui selepas akhil baligh. Dr. Juanda menasihati ibu bapa Nabil iaitu seorang peniaga kecil di sini untuk melakukan ujian DNA buat kali kedua dalam masa tiga atau empat tahun bagi mengenalpasti nalurinya samada kekal sebagai lelaki atau perempuan.


Mufti Perlis itu menyifatkan kelahiran Nabil yang tidak mempunyai kemaluan sebagai satu anugerah besar dan mempunyai hikmah tertentu. Sayu hati apabila terbaca kes Nabil. Saya berharap Nabil akan menjadi seorang yang tabah dalam mengharungi kehidupan kelak.

Ibu Kejam!

Seorang Dibakar, Dua lagi dikuburkan dalam peti sejuk!
Pada 21 Jun lepas, saya terbaca dalam Harian Metro (page D11) satu berita yang betul-betul mengejutkan saya dan mungkin juga ibu-ibu di luar sana. Seorang wanita warga Perancis, Veronique Courjault berusia 41tahun telah membunuh tiga anaknya yang baru lahir, seorang dibakar manakala dua lagi 'dikebumikan' dalam peti sejuk. Jenayah tersebut berlaku antara tahun 1999 hingga 2003. Puncanya kerana dia tidak mahu menanggung beban menjaga mereka. Veronique telah membunuh ketiga-tiga anaknya sejurus selepas mereka dilahirkan. Dia telah merahsiakan kehamilannya dari pengetahuan suaminya, Jean Louis Courjault, 40tahun.


Sebelum kejadian, Veronique telah mempunyai dua anak yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun (pada 2006) dan dia didakwa tidak mahu mempunyai anak lagi selepas itu tetapi malangnya dia telah hamil lagi buat kali ketiga pada tahun 1999 dan telah menyembunyikan kehamilannya dari pengetahuan suaminya. Courjault yang merupakan seorang jurutera kerap bertugas di luar negara dan kesempatan ini digunakan oleh Veronique bagi menyembunyikan kehamilannya. Ketika itu pasangan tersebut menetap di Tours, Perancis. Dia telah melemaskan anaknya sehingga tidak bernyawa selepas dilahirkan dan mencampakkannya di dalam tempat pembakaran unggun api di dalam rumahnya tanpa ada perasaan belas kasihan atau rasa bersalah. Kejam betul tindakannya!


Pada 2002, Veronique dan suaminya telah berpindah ke Seoul, Korea Selatan kerana suaminya ditugaskan di sebuah syarikat alat ganti kenderaan milik Amerika Syarikat, Delphi dan Veronique sekali lagi hamil dan dia sekali lagi merahsiakan kandungannya dari pengetahuan suaminya. Veronique telah melahirkan seorang bayi lelaki dan dia telah melemaskannya dan membungkusnya lalu dimasukkan ke dalam peti sejuk.


Tahun 2003 sekali lagi nasib tidak menyebelahi Veronique apabila dia telah hamil sekali lagi dan kali ini dia telah melahirkan bayi lelakinya dalam tab mandi. Seperti sebelum ini, dia membungkus bayi berkenaan dengan beg plastik dan memasukkannya ke dalam peti sejuk yang menyimpan bayi sebelumnya. Peti sejuk yang diberi gelaran 'kubur keluarga' itu tidak digunakan oleh keluarga berkenaan tetapi masih berfungsi dengan baik. Veronique telah membunuh ketiga-tiga bayinya atas alasan letih mahu membesarkan mereka.


Julai 2003, Courjault telah membawa keluarganya pulang ke Perancis namun terpaksa pulang ke Seoul bersendirian lebih awal disebabkan ada hal kecemasan. Suatu hari, guru yang mengajar bahasa Korea di rumahnya telah membuka peti sejuk yang menyimpan mayat dua bayi terbabit dan terkejut apabila mendapati bungkusan tersebut mengandungi mayat bayi-bayi terbabit.


Dalam kes ini Courjault adalah antara suspek utama tetapi beliau masih dibenarkan pulang ke Perancis sementara polis menjalankan siasatan terperinci termasuk melakukan ujian DNA pada mayat-mayat bayi tersebut dan pada 23 Julai 2003, pihak berkuasa Seoul mengesahkan ibu bapa bayi-bayi tersebut adalah Veronique dan Courjault berdasarkan ujian DNA.


Ketika pengumuman dibuat, keluarga berkenaan berada di Perancis dan pihak berkuasa Perancis turut sama menjalankan siasatan terutama apabila Veronique mengaku membunuh dan membakar bayi ketiganya ketika dia berada di Perancis. Berdasarkan bukti, Veronique didakwa atas tuduhan membunuh bayinya dan ketika perbicaraan, Veronique dilaporkan memberitahu pakar psikiatri bahawa dia tidak selesa dengan kehadiran bayi-bayi terbabit.


Sementara itu, sepanjang siasatan dan perbicaraan dijalankan, Courjault setia menemani isterinya walaupun dia sedia maklum hukuman berat yang bakal diterima oleh isterinya jika didapati bersalah. Petikan berkata, Courjault cuba memahami masalah yang dihadapi oleh isterinya dengan bayi-bayi berkenaan dan dia tetap memberi sokongan pada wanita yang dia cintai.


Dalam perbicaraan yang dijalankan, Veronique telah mengaku membunuh ketiga-tiga bayinya iaitu satu di Perancis dan dua di Korea Selatan dan mahkamah telah mendapati Veronique bersalah dan menjatuhkannya hukuman penjara seumur hidup pada 11 Jun lalu.


Bila difikirkan semula, kenapa wanita ini tidak mengambil langkah pencegahan awal mencegah kehamilannya dengan mengamalkan perancang keluarga jika dia tidak mahukan anak lagi? Kenapa perlu dia membiarkan kandungannya sehingga dilahirkan dan membunuh mereka? Tidak wujudkah perasaan kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya di dalam dirinya sehingga sanggup dia membunuh mereka dengan cara yang begitu kejam? Patutkah dia digelar ibu? Soalan-soalan inilah yang bermain di fikiran saya apabila terbaca kisah Veronique dan tindakan kejamnya terhadap anak-anaknya yang baru dilahirkan. Pada pandangan saya ianya adalah tindakan yang betul-betul kejam dan tidak berperikemanusiaan, apatah lagi yang melakukannya itu adalah seorang ibu. Selalu kita mendengar pepatah "syurga itu di bawah telapak kaki ibu" tetapi pada zaman yang serba 'moden' ini masih sesuaikah pepatah tersebut digunakan? Apatah lagi pada ibu-ibu yang tidak bertanggungjawab seperti ini?


Benarkah Veronique yang membunuh anak-anaknya? Atau dia memikul kesalahan tersebut bagi menyembunyikan kesalahan orang yang dia cintai? Hai... Dunia! Dunia!
-Sumber; Harian Metro-